Sila ambil maklumat :) Dont Forget to Follow..

Jika Guna FB tolong 'Like" yer.. tenkiu

Terbaik

Friday, October 31, 2008

Tip Tahfiz 7 (Tip Menghafaz al-Quran)

#20 : Fahami Fenomena Kelupaan

Serba sedikit mengenai persoalan lupa telah disentuh dalam beberapa topik sebelum ini. Topik ini bukanlah untuk menyediakan formula untuk mengatasi masalah lupa. Sebaliknya untuk menarik perhatian kita supaya memahami fenomena lupa dan seterusnya menyarankan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasinya. Tips #11 berkaitan peristiwa Nabi Allah Adam yang dikeluarkan dari syurga, memberikan petunjuk (hint) bahawa sejarah lupa sama umurnya dengan sejarah kejadian manusia. Surah al-Kahf juga secara panjang lebar membawa kisah- kisah Nabi Musa, yang tiga kali terlupa mematuhi perjanjiannya dengan nabi Hidhir. Juga pernah disentuh bahawa Sahabat besar dan ulama’ masyhur juga tidak terlepas daripada masalah kelupaan. Antaranya seperti yang dinyatakan dalam tips sebelum ini, Sayyidina Ali K.W. terpaksa mengadu pada RasulAllah sendiri mengenai masalah kelupaan yang dihadapinya. Mereka yang lazim bersolat di belakang imam-imam hafiz juga biasa ketemu dengan imam yang tersilap dalam solat Tarawikh. Maksudnya, kelupaan ialah fenomena semula jadi (nature) kehidupan manusia yang berkemungkinan besar tiada siapa yang boleh 100% mengatasinya.

Fenomena lupa dalam proses penghafazan al-Quraan boleh dibahagikan kepada dua keadaan iaitu lupa berat dan lupa ringan. Lupa ringan ialah tidak dapat mengungkap (recall) ayat-ayat yang telah dihafaz dan berlaku pada sesiapa sahaja. Lupa berat pula ialah situasi ayat-ayat yang telah dihafaz memang hilang terus dari ingatan. Lupa ringan merupakan fenomena yang berlaku yang boleh dikaitkan dengan keadaan diri dan persekitaran yang tidak mengizinkan kita mengungkap ayat-ayat al-Quraan yang telah tertulis (registered) dalam ingatan kita. Dua pengaruh utama yang menyumbang kepada lupa ringan, iaitu gangguan Syaitan dan keadaan diri kita sendiri.

LUPA RINGAN
Gangguan Syaitan, seperti yang dijelaskan dalam surah al-Kahfi merupakan satu daripada faktor kelupaan. Sebab itulah Allah memerintahkan kita memulakan bacaan al-Quraan dengan ta’awudz (a-‘udzu bil-Lah min as-Syaitaan). Kisah-kisah gangguan Syaitan ke atas para Nabi, termasuk cubaan mengganggu RasulAllah S.A.W. sendiri menunjukkan kesungguhan Syaitan tiada batasannya untuk menghalang amalan baik anak Adam.

Faktor keadaan diri pula, sebahagiannya ialah keadaan fizikal kita sendiri merupakan antara penyumbang utama kepada fenomena lupa hafazan. Berkaitan dengan ini, kita perlu memberi perhatian kepada ayat 5 surah al-Muzzammil bahawa al-Quraan itu ialah ‘ayat yang berat (thaqeel)’. Keadaan fizikal yang lemah sedikit-sebanyak memberikan kesan yang signifikan ke atas mutu hafazan seseorang. Keadaan kesihatan, tahap kecergasan yang rendah, pemakanan yang tidak seimbang dan tidak teratur serta rehat yang tidak mencukupi boleh menjejaskan hafazan. Oleh itu kita tidak perlu hairan jika pada bulan Ramadhan terdapat imam-imam hafiz ‘tersangkut-sangkut’ ketika mengimami solat Tarawekh lantaran kepenatan berpuasa dan bekerja di siang hari serta disibukkan oleh aktiviti-aktiviti masyarakat dan masjid pada sebelah malamnya. Kenapa keadaan fizikal mempunyai kaitan yang rapat dengan fenomena lupa?. Pembacaan semula (recalling) ayat-ayat yang telah dihafaz memerlukan tahap konsentrasi yang tinggi. Hal ini memerlukan tenaga dan kekuatan. Sebab itu jugalah kita biasa melihat para hafiz, selepas mengimami solat, bermandi peluh dan nampak kepenatan.
Seperkara lagi yang boleh dikaitkan dengan keadaan diri ialah ‘kesihatan ruh’ kita sendiri. Mungkin sebahagian kita biasa mendengar kisah kelupaan imam as-Syafie yang dikaitkan dengan ‘tersalah’ memakan daging kambing yang ‘syubhah’. Sebab itulah antara persediaan untuk menghafaz al-Quraan, seperti yang dijelaskan dalam surah al-Muzzammil dan al-Muddath-thir, ialah ‘pembersihan diri’. Antaranya, memperbanyakkan istighfar, bertahajjud, memperbaiki mutu ikhlas serta membersihkan diri dan sentiasa memakai pakaian dan memakan makanan yang bersih.

Bagi menghadapi fenomena ‘lupa ringan’ ini, beberapa langkah boleh diambil, antaranya:
(a) seperti yang disarankan dalam ayat 24 surah al-Kahf dan bersesuaian dengan ayat 6 surah an-Naml, ingati Allah dan harapkan supaya Allah membacakannya ke dalam ingatan kita;
(b) seperti yang disarankan dalam surah an-Naas serta ayat 97 dan 98 surah al-Mu’minoon, harapkan supaya Allah mendiding kita daripada bisikan dan ‘was-was’ Syaitan;
(c) kembalikan konsentrasi dengan memastikan bacaan di lidah kita tidak mendahului bacaan dalam ingatan kita;
(d) semak tahap pembersihan diri kita (lihat Tips #4 dan Tips #14); dan
(e) semak rutin harian kita (lihat Tips #8).

LUPA BERAT
Kadang-kadang keadaan ‘belum ingat’ sinonim dengan fenomena lupa. Keadaan ‘lupa berat’ boleh berlaku terutamanya dalam proses penghafazan ayat-ayat yang hampir serupa antara satu dengan yang lain. Kekeliruan dan bercampur aduk antara ayat adalah sebahagian daripada tanda-tanda ‘lupa berat’. Jika diambil iktibar daripada ayat 6 surah al-A’laa yang menyatakan sekiranya Allah telah ‘membacakan (talaqqa)’ al-Quraan ke dalam ingatan kita, selama-lamanya kita tidak akan lupa lagi, fenomena ‘lupa berat’ sebenarnya lebih menjurus pada fenomena ‘belum ingat’.

Umum kurang menyedari bahawa sebelum seseorang boleh membaca hafazan al-Quraan dengan licin dan sempurna seperti yang dilakukan oleh Imam Masjidil Haram, ia perlu melalui proses pematangan ayat-ayat yang telah dihafaz. Biasanya, hafazan seseorang mencapai tahap ‘separuh matang’ selepas dua tahun dari tarikh hafazan pertama. Hafazan selepas lima tahun, sekiranya sentiasa disemak dengan teratur, boleh dianggap matang. Maksudnya, salah satu daripada kaedah mengatasi masalah lupa berat ialah semakan hafazan yang berterusan sehingga menjadi matang. Rujuk Tips #11.

Menghafaz menggunakan teknik yang kurang bersesuaian juga antara penyumbang kepada berlakunya fenomena kelupaan berat. Jika terdapat tanda-tanda kelupaan berat, cuba ubah teknik penghafazan. Sebahagiannya dibincangkan dalam Tips #12. Ambil perhatian isu-isu lain yang berkaitan, antaranya:
(a) masalah penghafazan ayat-ayat awal surah;
(b) masalah penghafazan ayat-ayat generic dan unik;
(c) perbezaan penghafazan ayat-ayat Makkiyyah dan ayat-ayat Madaniyyah; dan
(d) perkara-perkara ‘remeh’ seperti yang dibincangkan dalam Tips #7.

Seperti yang telah dibincangkan dalam tajuk-tajuk terdahulu, hakikatnya kemampuan seseorang menghafaz al-Quraan bergantung pada keizinan Allah. Oleh itu, perbanyakkanlah berdoa. Jika mampu, amalkan doa yang diajarkan kepada Sayyidina Ali setiap minggu. Jika kurang mampu, cuba sebulan sekali. Jika tidak mampu juga, cubalah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Jika masih tidak mampu juga, manfaatkan doanya sahaja.

Wallahualam.
-------------------------

0 comment:

Post a Comment

Komen

New Latest Youtube free Video Download No Sex Adult

 
Free Host