Sila ambil maklumat :) Dont Forget to Follow..

Jika Guna FB tolong 'Like" yer.. tenkiu

Please Ignore ANonsense Ads

Wednesday, October 29, 2008

Tokoh Tajwid : Tiada noktah dalami al-Quran


Hassan Azhari


AYAT di atas menekankan kepentingan mempelajari kaedah pembacaan al-Quran yang betul mengikut ilmu tajwid.

Apabila bercakap mengenai ilmu tajwid, antara nama yang sering meniti di bibir sebahagian besar umat Islam di Malaysia ialah Datuk Hassan Azhari, 80, atau dikenali juga sebagai Ustaz Hassan.

Penulis masih teringat cara beliau memuncungkan bibir untuk sebutan isymam dan pelbagai mimik muka dalam rancangan Mukaddam yang popular di RTM1 sekitar awal tahun 1980.

Sebenarnya, penglibatan anak kelahiran Mekah ini dalam bidang pengajian al-Quran di Malaysia bermula sejak awal penghijrahannya dari Mekah ke Selangor ketika berusia lapan tahun.

Bagaimanapun, antara khidmat beliau yang amat wajar diberi penghargaan adalah penglibatan beliau sebagai hakim tilawah al-Quran baik di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.

Atas keikhlasan menabur bakti itulah, anak pasangan Azhari Abdul Khaliq juga tokoh agama terkenal di Selangor dan Fatmah Abdul Hakim ini diberi anugerah pada tilawah antarabangsa ke- 50 yang lalu kerana telah 50 kali bertugas sebagai hakim tilawah. Ia boleh disamakan dengan sambutan Jubli Emas sebagai hakim tilawah antarabangsa. Di peringkat kebangsaan pula, Hassan telah menjadi hakim selama 51 tahun iaitu sejak ia mula diperkenalkan.

Sesungguhnya ia adalah satu rekod yang luar biasa dan sukar digugat oleh mana-mana orang di dunia ini. Walaupun kepakarannya dalam ilmu tajwid sudah terserlah, Hassan masih terus menimba ilmu.

Beliau menggunakan kesempatan bertemu dengan para hakim tajwid luar negara terutama Mesir untuk memperbaiki bacaan.

“Semakin saya mempelajari al-Quran saya merasakan ilmu yang saya miliki adalah terlalu sedikit dan tidak ada tamatnya.

“Saya tidak pernah mengatakan diri saya cukup pandai. Malahan masih ada kekurangan pada saya, maka saya selalu mempelajari (ilmu tajwid) dari semasa ke semasa,” kata beliau membuka bicara.

Dibesarkan dalam suasana dan persekitaran keluarga dan masyarakat Arab yang berilmu dan beragama memudahkan lagi beliau menguasai ilmu agama dan juga kemahiran membaca al-Quran.

Beliau mempelajari al-Quran secara formal sejak kecil di Mekah iaitu di peringkat rendah di Madrasah Dar al-Ulum, Mekah. Antara guru al-Quran beliau di sini ialah Sheikh Yasin al-Fadani dan di Masjidil Haram, gurunya ialah Sheikh Ismail Tamim (salah seorang imam masjid di Mekah).

Bertallaqqi
Bagaimanapun, pengajian bertallaqqi dengan Sheikh Ismail tidak sempat sehingga khatam kerana beliau terpaksa meninggalkan Mekah mengikuti bapanya yang menetap di Malaya selepas dilantik sebagai guru agama oleh Kerajaan Negeri Selangor ketika itu.

Takdir Allah, Sheikh Ismail kemudian datang ke Malaysia dan ini membuka peluang kepada Hassan menyambung pengajian yang terhenti sebelum ini.

Selain itu, beliau juga mempelajari al-Quran secara tidak formal melalui guru-guru agama dari Indonesia dan Patani.

Berkat didikan ibu bapa dan kesungguhan menuntut ilmu, dalam usia 10 tahun beliau menghafaz 10 juzuk al-Quran di bawah bimbingan Sheikh Ismail.

Pengajian beliau sekali lagi terhenti apabila gurunya terpaksa kembali ke Mekah apabila tentera Jepun masuk ke Malaya.

Menjadi pakar dalam bidang al-Quran bukanlah mudah. Selain perlu mempunyai tahap pengetahuan bahasa Arab yang baik, seseorang itu perlu juga memiliki ilmu tajwid yang mantap, mempunyai kemahiran bertarannum dan mempunyai suara yang merdu.

Gabungan ‘ramuan’ ini bagaimanapun ada pada Hassan walaupun beliau lebih dikenali sebagai pakar ilmu tajwid. Buktinya, beliau pernah muncul sebagai Johan Tilawah al-Quran Se-Malaya ketika berusia 23 tahun. Ia diadakan di Masjid Jamek Abu Bakar, Johor Bahru pada 4 September 1947.

Bakat seninya ibarat ‘kuah tumpah ke nasi’. Sebabnya, bapa beliau amat berkemahiran dalam ilmu qasidah manakala ibunya pula bersuara merdu dan lunak serta berkebolehan menyanyikan lagu marhaban serta berkebolehan memukul tabla.

Walaupun sudah memiliki kemahiran dalam ilmu tajwid, Hassan masih merasa ia belum mencukupi. Ini menyebabkan beliau kembali semula ke Mekah untuk menyambung pengajian al-Quran secara tidak formal selama enam tahun.

Selain di Mekah, Mesir juga menjadi destinasi beliau menuntut ilmu al-Quran. Sebabnya di sana, ilmu agama dan al-Quran banyak disampaikan di masjid-masjid secara percuma. Namun, Hassan lebih selesa bertemu secara terus (talaqqi) dengan guru sama ada di rumah atau di tempat lain.

Menurut Hassan, pengajian tarannum dan qiraat bermula di Mesir pada tahun 1948. Gurunya dalam tarannum antaranya ialah Sheikh Saiyid Mahmud Lutfi Amir dan Sheikh Mahmud Amin Tantawi.

“Antara guru qiraat saya ialah Sheikh Mahmud al-Bukhari dan Sheikh Muhammad Abdul Samad al-Jambi,” tambah beliau.

Pada awal penglibatannya sebagai hakim, Hassan berkata, beliau diberi tugas di bahagian lagu dan suara.

“Pada peringkat awal dulu, hakim tilawah cuma empat orang. Setiap seorang kena menjaga aspek lagu, suara, tajwid dan fasahah manakala seorang lagi menjadi Pengerusi Jemaah Hakim.

“Ini agak menyukarkan kerana kita tidak boleh memberi tumpuan dalam bahagian tertentu. Namun, alhamdulillah kini kaedah penghakiman adalah lebih teratur,” katanya.

Disebabkan keahlian dalam bidang al-Quran, beliau turut dijemput sebagai hakim tilawah di luar negara seperti Mekah, Mesir, Dubai dan Iran selain rantau ASEAN meliputi Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura.

Bilangan anak muridnya pula tentulah tidak dapat dibilang. Namun, antara mereka yang berjaya dalam tilawah al-Quran ialah Fasihah Hashim, Datuk Mohammad Hasri, Hanbali Abdul Salam dan Shafie Kati.

Menurut Hassan, pada awal tilawah diadakan bidang lagu tidak begitu dipentingkan kerana walaupun boleh membaca satu lagu sudah mencukupi.

Katanya, kira-kira tiga empat tahun selepas itu barulah diperkenalkan harakat lagu yang terbahagi kepada empat tingkatan (tabaqah).

“Selepas 10 tahun, lagu-lagunya semakin dipelbagaikan sehingga ada lagu jawab selain lagu seperti bayati, sikah, soba, nahwand, ras, hijaz, a’ajam dan asas lagu tawayih selain pecahan lagu jaharka dan kurdi,” jelasnya.

Hassan menambah, untuk menjadi ahli lagu seseorang itu mesti mempunyai mutu suara yang baik selain nafas yang panjang.

“Lagu pun kena ikut kepada ayat al-Quran. Kalau ia menceritakan tentang azab Allah seperti neraka, maka lagunya kena berbentuk sedih,” katanya.

Ditanya tentang sesetengah pandangan yang menolak membaca al-Quran secara berlagu, Hassan berkata, menurut mazhab Syafie ia dibolehkan dengan syarat jangan salah semasa membaca.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang tidak berlagu dengan al-Quran, maka bukanlah dia daripada golongan kami”. (riwayat Abu Daud)

Sebab itulah al-Quran yang mengandungi cahaya, hidayah, petunjuk dan penjelasan itu perlu dipelajari kaedah membacanya dengan betul agar makhraj hurufnya disebut dengan tepat dan mengikut lahjah Arab.

Hassan juga meminati bidang seni suara iaitu nasyid. Selain mahir bermain alat muzik nasyid seperti gendang, tabla, gambus dan sebagainya beliau berkebolehan mencipta lagu nasyid.

Malah beliau mempunyai kumpulan nasyid yang ditubuhkan sebelum tahun 1950 iaitu ‘Firqah al-Sahra’ dan ‘Firqah al-Hilal’ yang diketuai oleh anak didiknya, Habibah Yaakob.

Dianggarkan lebih 70 lagu nasyid pernah dicipta setakat ini. Antara lagu nasyid ciptaan beliau yang popular satu masa dahulu adalah Nahnu Abna’u al-Amal, Kalamun Qadimun La Yamalluhu Sana’hu, Quran Pimpinan Manusia dan Harapan Negara.

Atas sumbangan dan khidmat dalam bidang pembacaan al-Quran, Hassan dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1423H bersamaan tahun 2002 selain beberapa anugerah seperti Tokoh Guru Agama Negeri Selangor tahun 1989 dan Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan pada tahun 1990.

Ditanya mengenai formula menarik masyarakat mempelajari ilmu tajwid, Hassan berkata, jangan mengajar ilmu ini banyak-banyak untuk mengelak murid jadi jemu.

“Satu hari satu hukum pun cukup dan kita bagi misal (contoh) dulu. Ilmu tajwid ini luas sampai mati pun tidak akan habis kita mempelajarinya,” kata beliau.

Di sebalik kehebatan beliau dalam bidang al-Quran, Hassan tidak pernah meninggi diri dan sentiasa mudah mesra dengan sesiapa walaupun baru pertama kali bertentang mata.

Pesanan beliau, jika terlalu sibuk dengan urusan harian, bacalah sekurang-kurangnya tiga atau empat ayat al-Quran dalam sehari kerana ini juga menjadikan kita sebagai insan yang hampir kepada al-Quran, tambahan pula membaca al-Quran adalah ibadat.

0 comment:

Post a Comment

Komen

New Latest Youtube free Video Download No Sex Adult

Islamix Showz

Create a playlist more list www.IslamicMusic

Syaiquna

 
Free Host