Friday, October 31, 2008

Tip Tahfiz 3 (Tip Menghafaz al-Quran) Kepelbagaian Teknik Penghafazan

#12 – Kepelbagaian Teknik Penghafazan

Berbanding dengan tips yang telah dibincangkan dalam tajuk-tajuk sebelum ini yang semuanya berasaskan nas-nas daripada al-Quraan, hadits dan ‘aathar, tips kali ini adalah berdasarkan contoh amalan pelajar-pelajar tahfiz. Perbincangan kali ini bukanlah untuk menyarankan apakah tip yang terbaik, sebaliknya sekadar untuk membuka minda kita bahawa perlunya kita membuat ‘exploration’ bagi mencari kaedah terbaik dan bersesuaian dengan kekuatan dan kelemahan diri kita. Di samping itu juga untuk memikirkan jenis teknik yang paling bersesuaian dengan “nature” kehidupan seharian kita. Namun, sebelum membincangkan teknik-teknik berkenaan elok juga diambil pengajaran daripada yang disarankan oleh Ibn ‘Abbas bila orang bertanya kepadanya bagaimana dia menghafaz. Beliau menjawab “aku baca, aku fahami dan aku amalkan”.

Jika diteliti jaguh-jaguh sukan beraksi, kita akan dapati mereka mempunyai banyak set teknik bagi memenangi sesuatu pertandingan. Ambil sahaja satu contoh kecil dalam Perlumbaan kereta F1 misalnya. Lihat kepelbagaian teknik pemandu ketika memasuki ‘pit-stop’. Begitu juga banyaknya teknik ‘lipat’ dalam sepak takraw. Malahan tentunya ramai yang arif tentang banyak jenis sepakan penalti dalam bola sepak. Cuba kita beberapa contoh yang diamalkan oleh sesetengah orang orang untuk menghafaz, seperti di bawah:

1. HAFAZAN TALAQQY

Salah seorang daripada guru saya bernama Isa berasal dari Sudan. Beliau mempunyai sanad penghafazan sehingga ke RasulAllah SAW yang yang tidak terputus hubungan talian sanadnya yang diwarisi dalam keluarganya dari satu generasi ke satu generasi. Teknik yang diajarkan ialah semasa dia membaca al-Quraan murid-muridnya mesti menulis ayat-ayat yang ditalaqqiykan. Setelah habis ditulis, mereka dikehendaki membacanya dan didengari oleh beliau untuk diperiksa. Sekiranya semua telah betul, murid-muridnya dikehendaki menghafaz seperti yang ditulis itu sahaja, bukan daripada mashaf. Menurut beliau, itulah teknik asal penghafazan al-Quraan yang diajari oleh Jibril. Oleh sebab RasulAllah tidak tahu menulis dan membaca, Baginda meminta orang lain untuk menulisnya (sila rujuk seerah).

2. HAFAZAN UNTUK SOLAT SUNAT

Beberapa hadis ada menyatakan bahawa betapa besarnya pahala membaca al-Quraan ketika bersolat. Seorang lagi guru saya yang bernama Dr. Yusuf dari Oman mengajarkan teknik menghafaz untuk solat sunat. Menggunakan kaedah ini, kita hanya perlu menghafaz lima ayat baru setiap hari yang setiap satu ayat akan dibaca dalam setiap solat sunat rawatib. Sedikit demi sedikit cantumkan ayat-ayat berkenaan sehingga lengkap menjadi satu rubu’ atau satu surah.

3. BED-TIME STORY

Mungkin banyak orang yang belum pernah mendengar bahawa membaca al-Quraan sama ada melalui lisan atau dalam hati merupakan ubat tidur yang mujarab bagi mereka yang menghadapi masalah untuk memulakan tidur. Ada pelajar-pelajar tahfiz mengambil kesempatan ini dengan ‘pura-pura’ menghafaz untuk memudahkan tidur. Caranya mudah, pilih sahaja mana-mana ayat, kemudian baca, pejamkan mata dan cuba ingat ayat-ayat tersebut dalam hati. Insya Allah, dalam beberapa minit akan tertidur. Kalau terjaga semula, ulangi dan sambung… sehingga terlelap.

4. HAFAZAN 1-2, 1-2.

Jenis ini merupakan teknik hafazan serius. Sama ada kita sedari atau tidak, menghafaz ayat-ayat tertentu dalam al-Quraan berbeza dalam konteks menghafaz keseluruhan al-Quraan. Prinsip yang mudah difahami ialah setiap ayat al-Quraan mempunyai kaitan atau ikatan dengan ayat sebelum dan selepasnya. Hafazan 1-2, 1-2 memerlukan kita menghafaz dua ayat pada setiap masa. Peringkat pertama dimulai dengan ayat no.1 dan no.2, kemudian no.2 dan no.3, kemudian no.3 dan no.4, sehinggalah tamat satu surah atau rubu’. Setelah tamat proses Peringkat pertama, masuki peringkat kedua dengan cuba menghafaz keseluruhan surah atau rubu’ berkenaan. Mungkin kaedah ini sesuai diamalkan bersama-sama kaedah No.2 di atas.

5. HAFAZAN 1-2-3

Sama seperti teknik di atas, teknik ini juga merupakan teknik hafazan serius. Caranya ialah dengan membaca tiga ayat serentak. Contohnya jika kita menghafaz ayat-ayat no. 1,2 dan 3, ketika kita menghafaz ayat no.1 kita perlu ‘membaca’ ayat no.2. Setelah ayat no.1 telah berjaya dihafaz, ulangi ayat tersebut tanpa melihat mashaf, kemudian cuba hafaz ayat no.2 (yang kita telah ‘baca’ ketika manghafaz ayat no.1), diikuti dengan ‘membaca’ ayat no.3. Begitulah seterusnya. Maksudnya, pembacaan ayat pertama merupakan proses ‘pengukuhan’ apa yang dihafaz. Ayat kedua adalah percubaan menghafaz. Ayat ketiga hanya dibaca sahaja. Ayat ketiga ini bukanlah setakat dibaca sahaja, tetapi membaca sehingga kita yakin sudah boleh dihafaz. Ini juga bermaksud bahawa kita hanya berhenti mengulangi ‘pengukuhan’ hafazan ayat pertama setelah ayat ketiga sudah di‘register’ dalam ingatan ikatan kita.

6. HAFAZAN DERAAN

Teknik ini nampak lebih serius. Saya pernah bertemu dengan salah seorang daripada imam dari England yang bernama ‘Uzair, amat baik hafazannya dalam semua sudut. Memerhatikan cara beliau membuat semakan, bolehlah diklasifikasikan sebagai ‘teknik deraan’. Setiap kali ‘terbuat’ silap atau ‘tersangkut’ dia akan kembali semula ke awal rubu’. Walaupun cara yang dipraktikkan oleh Imam ‘Uzair ini kelihatan seperti satu bentuk deraan, sebenarnya ada satu prinsip yang dipraktikkan. Prinsipnya ialah apabila kita memulakan bacaan untuk satu-satu rubu’, seawal ayat pertama lagi memori (otak) kita sudah sepatutnya mengumpulkan maklumat mengenai ayat-ayat di hadapan. Dengan kata lain, sekiranya kita mengimami solat dan mahu membaca satu surah yang mengandungi 50 ayat, pada ayat pertama lagi kita telah mempunyai ‘map’ untuk perjalanan seterusnya dah telahpun tahu apakah bacaan pada ayat ke-50 nanti.

7. HAFAZAN NON-COMMITTAL

Teknik ini lebih senang. Baca sahaja mana-mana surah atau rubu’ setiap hari tanpa terikat untuk menghafaz. Setelah beberapa hari, memori kita insya Allah akan boleh merakam ayat-ayat dengan mudah. Apabila kita telah menyedari ada ayat yang mula masuk dalam ingatan kita, cuba kembangkan ingatan pada ayat-ayat sebelum dan selepasnya. Bagaimana kalau terlupa?. Just forget it!. Insya Allah akan datang kembali. Maha Suci Allah yang menurunkan al-Quraan sebagai satu mukjizat yang di luar pemikiran manusia untuk memahaminya. Biasanya selepas 40-60 hari, keseluruhan satu rubu’ boleh dihafaz melalui cara sebegini.

8. HAFAZAN MENGUDUR (REVERSE)

Sama juga dengan kaedah di atas. Namun, kaedah ini merupakan pemakaian prinsip ‘pembinaan’ map seperti yang dinyatakan dalam kaedah ‘deraan’ tadi. Jika dibandingkan, kaedah ini lebih teratur berbanding hafazan non-committal di atas. Setiap hari cuba baca keseluruhan satu rubu’ atau surah. Pada akhir sesi, hafazkan ayat yang terakhir sahaja. Jadi, jika jumlah keseluruhan ayat adalah 60, mulakan hafazan dengan ayat no.60, kemudian ayat 59 dan begitulah seterusnya. Untuk memberikan impak yang lebih baik, hafazkan ayat-ayat terakhir tersebut dengan menggunakan teknik 1-2, 1-2 seperti yang dibincangkan di atas. Oleh sebab kita membaca rubu’ tersebut setiap hari, insya Allah sebelum sampai ayat ke-30, keseluruhan rubu’ telah berjaya dihafaz.

9. TEKNIK ‘GANJIL’

Dikatakan bahawa terdapat amalan sesetengah orang Arab yang menghafaz dengan memulakan menulis ayat-ayat yang hendak dihafaz. Setelah ayat tersebut berjaya dihafaz, pelajar-pelajar berkenaan membakar nota mereka, asapnya disedut dan abunya dilarutkan ke dalam air dan diminum. Menurut mereka ada hadith sahih (saya sendiri tidak ketemu matan dan riwayatnya – waAllahu a’lam) yang membawa maksud bahawa tulisan al-Quraan adalah penawar pelbagai penyakit dan pendiding daripada rasukan syaitan.

10 HAFAZAN PAST TIME

Mengikut cerita orang, orang-orang bekerja sebagai ‘jaga’ dan penjaga gate keretapi di Mesir semuanya hafiz, waAllah a’lam.

KESIMPULANNYA

1. Terdapat banyak teknik hafazan yang boleh dicuba untuk dipraktikan mengikut kemampuan ingatan kita dan yang bersesuaian dengan corak kehidupan seharian kita.

2. Penghafazan yang baik (sila lihat teknik no.1 dan 2), adalah melibatkan banyak anggota badan – mata, telinga, lidah dan tangan.

3. Teknik hafazan yang baik tidak semestinya yang membebankan, sebaliknya bersesuaian.

4. Jangan lupa, sama ada kita berjaya atau tidak bukanlah suatu perkara yang paling penting kerana membaca al-Quraan merupakan ibadah khusus yang pahalanya dikira daripada setiap huruf yang dibaca.


#13 : Membina Motivasi

Cuba tanyakan kepada diri kita sendiri, ‘kenapa saya harus menghafaz al-Quraan?’. Kemudian tanya pula mereka yang arif dalam soal motivasi diri, ‘bagaimanakah cara untuk berjaya mencapai cita-cita?’ dan ‘kenapa pula ada orang yang ‘mati celik?’. Mungkin ada pakar motivasi menyarankan bahawa orang-orang berjaya adalah mereka yang mempunyai kekuatan dalam diri dan mempunyai ‘definite purpose’ dalam perjuangan hidup.

Apakah pula ‘definite purpose’ para penghafaz al-Quraan?. Adakah kerana mengikut ‘trend’ atau kerana budaya satu-satu bangsa (terutamanya bangsa Arab)? Adakah kerana sekeping sijil atau kerana salah satu syarat untuk memperoleh kelulusan akademik?. Mungkinkah juga bagi mencapai cita-cita untuk menjadi imam yang tersohor atau untuk digelar orang sebagai al-Hafiz, al-Qari’ wal-Muqri’?. Tanyakan diri kita sendiri, dari mana asalnya gelaran-gelaran tersebut? Adakah bersumberkan nas-nas yang sahih?, Adakah gelaran-gelaran tersebut telah wujud di zaman Rasul SAW, Sahabat dan Tabi-ein?

Untuk mengimbau cita-cita para huffaz, cuba lihat nas-nas berikut:

NAS-NAS KUMPULAN 1

Dari Abu Musa (R.A) meriwayatkan bahawa RasulAllah S.A.W bersabda (maksudnya), “antara orang-orang yang dimuliakan oleh Allah ialah orang tua Muslim, penghafaz al-Quraan yang tidak membuat silap; dan seseorang yang apabila diberi kuasa dia berlaku adil” [Riwayat Abu Dawud]; Nota : perkataan ‘ghairu ghali’ boleh diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai ‘not aggressive when putting into practice and not taking shelter of far-fetched interpretations to justify own intellectual and religious perversion’

Jaabir (R.A) meriwayatkan bahawa, selepas peperangan Uhud, ketika sedang mengaturkan susunan kedudukan di dalam liang lahad bagi dua jenazah tentera yang syahid, RasulAllah S.A.W bertanya kepada para Sahabat (maksudnya), “siapakah di kalangan mereka ini yang lebih banyak hafazan al-Quraannya?”. Mana-mana yang dikenal pasti sebagai lebih lebih hafiz akan disemadikan terlebih dahulu [Riwayat Bukhari].

NAS-NAS KUMPULAN 2

Siapakah Ibn ‘Abbas?. Namanya Abdullah bin ‘Abbas bin ‘Abdul Mutalib. Beliau ialah sepupu RasulAllah S.A.W. Ketika beliau dilahirkan, RasulAllah S.A.W. berdoa supaya Allah mengurniakan bayi tersebut tiga perkara iaitu supaya (1) menjadi seorang yang faqih-fi-ddin, (2) diajarkan oleh Allah mengenai ‘ta’weel’ al-Quraan, dan (3) ditunjukkan kepadanya ‘sirat al-mustaqeem’. Selepas RasulAllah S.A.W. wafat beliau telah menjadi pakar rujuk kepada semua sahabat termasuk Khulafa’ al-Rasyideen. Oleh kerana faqihnya beliau dalam hukum-hakam dan tersangat tinggi kefahamannya mengenai ‘ta’weel’ al-Quraan, beliau banyak menegur tafsiran-tafsiran al-Quraan yang tidak tepat yang dilakukan oleh para Sahabat dan Tabi-een. Ibn ‘Abbas dianggap oleh para Sahabat sebagai lautan ilmu. Sekiranya kita meneliti latar belakang para ulama’ yang masyhur, sama juga seperti Ibn ‘Abbas, tiada seorangpun daripada mereka yang tidak menghafaz al-Quraan. Pendek kata, tidak sempurna kefaqihan seseorang tanpa menghafaz al-Quraan.

NAS-NAS KUMPULAN 3

Dalam ayat Aali-’Imraan, ayat no. 146, Allah SWT menyatakan bahawa ramai daripada mereka yang berperang bersama-sama para nabi adalah yang bersifat ‘Rabbaniyy’. Di tempat lain, di surah yang sama pada ayat no. 79, Allah SWT menjelaskan bahawa antara tugas para Rasul ialah untuk menyeru manusia supaya masuk ke dalam golongan ‘Rabbaniyyun’ - iaitu dengan cara mempelajari belajar ‘Kitab Allah’. Dalam konteks yang sama tetapi daripada perspektif yang berbeza, jika kita tinjau sejarah Islam, rata-rata para sejarawan bersetuju bahawa inisiatif pengumpulan dan penulisan al-Quraan adalah berpunca daripada kebimbangan para Sahabat terhadap ramainya penghafaz al-Quraan yang gugur syahid dalam peperangan-peperangan, samada di zaman Rasul S.A.W. atau selepasnya. Hatta di zaman kita hari inipun, ramai daripada ulama’ yang gugur syahid adalah terdiri daripada penghafaz al-Quraan. Imam Hasan al-Banna, Sayyid Qutb dan Sheikh Ahmed Ismail Yassin hanyalah sebahagian daripada contoh. Ringkasnya, sejarah mengisyaratkan bahawa terdapat kaitan yang rapat antara menghafaz al-Quraan dan peluang untuk mati syahid.

NAS KUMPULAN 4

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘As, RasulAllah (SAW) bersabda (maksudnya), ‘pada hari kiamat nanti, Sahibul-Quraan akan diperintahkan oleh Allah dengan “bacalah dan naiklah darjat kamu dan bacalah ia sebagaimana kamu membacanya di dunia. Darjat kamu akan ditentukan pada ayat terakhir kamu mampu membacanya”…’

KESIMPULAN

Daripada nas-nas al-Quraan, hadith, seerah dan dan sejarah sekurang-kurang ada empat ‘definite purpose’ yang yang menjadi motivasi untuk mendorong generasi terdahulu untuk menghafaz al-Quraan, iaitu:

PERTAMA – Dimuliakan oleh Allah semasa masih hidup lagi sehinggalah kepada penentuan kedudukan di dalam liang lahad;

KEDUA – Sebagai syarat kesempurnaan untuk kefaqihan dalam soal-soal agama;

KETIGA – Bagi mendekatkan diri kepada peluang untuk mati syahid;

KEEMPAT – Sebagai persediaan untuk menyahut perintah Allah supaya membaca al-Quraan di Padang Mahsyar nanti.


#14 : Sediakan Diri Untuk Hidup Sebagai Seorang Hafiz

Proses penghafazan al-Quraan lebih mengutamakan aspek ibadah dan spiritual dan tidak melebihkan aspek akademik, mental dan kemahiran. Oleh itu ciri-ciri ibadahnya harus diambil diambil berat. Dengan itu, banyak do’s and don’ts yang perlu diambil perhatian. Jikalau hendak disenaraikan satu persatu, amatlah banyak. Mungkin bermula daripada amalan sebesar-besarnya iaitu berjihad dan berperang di jalan Allah sehingga sekecil-kecil amalan yang mungkin termasuklah bersopan di jalan raya. Memadailah pada peluang yang sedikit ini kita membincangkan beberapa amalan sunat yang diangap kecil tetapi mempunyai kaitan langsung dengan proses penghazan.
1. Lazimkan mendirikan solat nawafil (solat sunat).

Terdapat banyak riwayat yang menyatakan membaca al-Quraan dalam solat nawafil merupakan amalan lazim RasulAllah SAW. Jika kita lihat dalam kitab-kitab fiqh, terdapat pelbagai jenis solat nawafil yang diamalkan RasulAllah SAW. Antaranya, solat tahajjud, witir, dhuha dan solat-solat sunat qabliyah dan ba’diyah untuk solat-solat fardhu. Daripada amalan-amalan RasulAllah SAW serta para Salaf-as-Soleh, dapatlah disimpulkan bahawa membaca al-Quraan dalam solat nawafil, terutamanya solat tahajjud, merupakan ‘formal presentation’ daripada daripada penghafaz al-Quraan kepada Allah SWT, atau ‘formal audience’ daripada seorang hamba untuk ‘mendengar’ Kalam Allah yang mulia itu. Andaian ini sama sahaja dengan hipotesis bahawa seseorang itu mempunyai kepakaran dalam bidang ilmu, seni atau sukan. Sekiranya beliau tidak pernah berpeluang untuk membuat ‘formal presentation’ sama ada dalam bentuk perlawanan atau pertunjukan, lama-kelamaan kepakaran yang ada akan hilang sedikit demi sedikit. Sebab itu juga, jika kita meneliti seerah atau membaca sejarah para Sahabat dan para ulama’ besar, kita mendapati bahaw mereka menghabiskan masa yang panjang mendirikan solat nawafil dengan membaca surah yang panjang-panjang.
2. Lazimkan mendirikan solat berjamaah.

Terutamanya kepada orang lelaki, solat jemaah harus menjadi amalan yang diambil berat. Terdapat hadith-hadith yang yang menjelaskan kepentingan solat berjamaah. Sebagaimana sukarnya untuk menemui nas yang menunjukkan RasulAllah SAW biasa mendirikan solat fardhu secara bersendirian, anggaplah mendirikan solat fardhu secara berjamaah di masjid sebagai satu kemestian. Selain daripada itu, kita harus mengambil ingatan bahawa banyak Sahabat RasulAllah yang ternama yang menghabiskan sebahagian besar hayat mereka hanya menjadi makmum. Berdasarkan mafhum ayat 78 surah al-Israa’, ramai mufassir menyarankan bahawa solat subuh berjamaah di masjid merupakan ibadah yang tidak dapat dielakkan. Daripada mafhum ayat tersebut dan amalan RasulAllah yang membaca surah yang panjang (sehingga 60 ayat), para mufassir mengandaikan bahawa solat subuh berjamaah adalah majlis yang disaksikan oleh para malaikat yang ‘bertukar shift’ antara ‘shift’ siang dan malam. Terdapat riwayat menyatakan apabila para pulang ke langit, perkara pertama yang dilaporkan ialah amalan anak Adam ketika mereka meninggalkan kita. Bagi mengaitkan amalan solat berjamaah, terutamanya solat subuh, dengan proses tahfiz, cuba lihat fenomena yang menjadi realiti dalam kehidupan kita. Bagaimana kita boleh menjadi orang ‘seni’ kalau kita tidak biasa menghadiri majlis-majlis seni. Begitu juga, bagaimana kita boleh menjadi ‘Ahlul-Quraan’ (istilah ini digunakan dalam sesetegah hadis) jika kita tidak biasa menghadiri ‘majlis al-Quraan’ yakni, solat subuh berjamaah di masjid.

Semasa mengiltizamkan diri amalan-amalan di atas, perlu juga diberikan perhatian serius terhadap tahap kemampuan kita dalam melaksanakan amalan-amalan sunat. Jika amalan kita yang sedia ada masih di tahap rendah, perubahan yang drastik boleh memberikan implikasi negatif. Sebaliknya, sekira kita terlalu memanjakan diri kita, kemajuan tidak boleh dicapai. Ambillah jalan yang bijaksana. Rancang penghayatan amalan-amalan sunat dengan teliti supaya kita sentiasa suka melaksanakannya. Carilah jalan yang baik supaya amalan-amalan tersebut tidak menjadi ‘terpaksa’. Mulakannya satu persatu. Jangan terburu-buru menambah amalan baru sebelum difikirkan semasak-masaknya. Mulakannya dengan yang ringan, mudah dan ‘enjoying’. Benarkan diri sendiri ‘berehat’ apabila terasa ‘penat’ mengamalkannya dan janganlah berasa bersalah untuk mengambil rehat. Mulakan semula apabila telah bersedia semula. Pertimbangkan satu tempoh yang panjang, barangkali setahun atau dua tahun, untuk berilitizam dengan satu-satu amalan baru. Di samping itu, sokongi amalan-amalan tersebut dengan memahami fadhilat-fadhilatnya. Oleh itu, untuk merancang solat nawafil (yang dibincangkan di atas), yang berkekalan seterusnya dapat membantu mengukuhkan hafazan, petua-petua di bawah ini mungkin boleh dimanfaatkan, iaitu:

(a) sentiasalah ingat akan nasihat yang menyarankan bahawa amalan yang disukai oleh Allah adalah yang sedikit tetapi berkekalan;

(b) manfaatkan bulan Ramadhan sebagai permulaan bagi satu-satu amalan baru atau menambahkan amalan yang sedia ada;

(c) buat ‘arrangement’ dengan menentukan solat sunat tertentu untuk hafazan bahagian tertentu. Contohnya, juzu’ 25 hingga 30 dibaca dalam solat sunat lepas maghrib, juzu’ 1-10 semasa solat Tahajjud, 10-15 di solat Dhuha. Amalkan satu-satu ‘arrangement’ untuk satu tempoh yang munasabah. Mungkin setahun. Tetapi apabila terasa tak ‘confortable’ ubahkan ‘arrangement’nya supaya bersesuaian dengan rutin harian kita;

(d) setiap kali memulakan satu-satu ‘arrangement’ mulakan dengan surah yang sependek-pendeknya, contohnya dengan surah ‘al-ikhlas’. Selepas kita berpuas hati bahawa kita memang sudah ‘committed’ dengan amalan tersebut, baru cuba membaca surah lain yang telah dihafaz mengikut susunan yang telah dirancang;

(e) kepada yang belum biasa dengan solat tahajjud, pada peringkat permulaan, mungkin dalam tempoh setahun, cuba jangan bersolat melebihi lima minit;

(f) kalau hati kita ‘bergelojak’ hendak menambahkan amalan, fikir semasak-masaknya, dibimbangi desakan syaitan yang merancang untuk ‘sabotaj’ komitmen kita. Jika berlaku juga, berniatlah bahawa ‘sama ada aku bersolat sunat atau meninggalkan solat sunat kedua-duanya kerana Allah’.

Menegnai solat subuh, kepada yang belum biasa untuk ‘commit’ untuk bersolat berjamaah di masjid, mungkin panduan ini berguna:

(a) mulakannya pada bulan Ramadhan;

(b) setelah habis bulan Ramadhan, teruskan pada bulan Syawwal sehingga menjadi 40 hari;

(c) setelah itu rancang jadual mingguan dengan menetapkan beberapa hari dalam seminggu ‘mesti’ pergi masjid. Kemudian, ‘improve’kan sedikit-demi sedikit;

(d) janganlah terikat sangat dengan amalan jemaah lain yang membaca wirid yang panjang-panjang. Sebagai permulaan, tiada salahnya untuk pergi ke masjid untuk tempoh yang sependek-pendeknya. Oleh itu juga tiada salahnya sampai di masjid selepas iqamah dan meninggalkan jemaah sebaik sahaja selepas memberi salam.

3. Sentiasalah memohon ampun, beristighfar dan bertaubat.

Jangan sekali-kali menganggap kita tidak pernah melakukan dosa besar dan tidak perlu bertaubat. Dalam ayat 49, surah an-Nisaa’, Allah menceritakan bahawa tanggapan sedemikian merupakan amalan Yahudi dan Kristian. Oleh itu, umat Islam tidak harus berbuat demikian. Sebaliknya kita perlu sentiasa memohon ampun dan terus mengharapkan keampunan, walau sebaik manapun kita ini, sehinggalah sampai ajal kita. Bahkan, RasulAllah yang sudah terjamin kedudukannya yang tertinggi dalam syurgapun bertaubat tidak kurang daripada 70 kali sehari semalam. Dalam ayat 70, surah al-Furqan Allah menjelaskan taubat yang diikuti dengan pengukuhan iman dan penambahan amalan soleh merupakan taubat yang terbaik yang segala dosa yang pernah dilakukan bukan sahaja diampunkan, bahkan di’convert’ menjadi pahala.
4. Lazimkan berdoa untuk mukminin dan mukminat.

Amalan mendoakan mukminin dan muminat memang menjadi ‘rutin’ setiap muslim. Terutamanya apabila berdoa dan memohon ‘Allahumma ighfir lil-mukminin wal mukminat… ’. Secara dasarnya amalan tersebut merupakan perintah Allah melalui ayat 19 surah Muhammad. Namun, dari segi praktikalnya tidaklah semudah mengamalkannya seperti membaca doa harian. Bahkan, memerlukan amalan lain yang menunjukkan ‘keikhlasan’ kita ketika berdoa yang antaranya:

(a) sentiasa memaafkan kesalahan peribadi orang lain ke atas kita;

(b) tidak mengumpat, memandang rendah atau su’zann (sangka buruk) kepada sesiapa;

(c) sentiasa mengharapkan dan mendoakan kebaikan untuk orang lain;

(d) amalkan penghidupan sebagai seorang yang ber‘pleasing personality’ dengan kemurahan senyuman, ringan tulang dan mempunyai ‘positive attitude’.

5. Jaga lidah.

Lidah seseorang hafiz itu seharusnya bersih. Jauhkan diri daripada bercakap lagha dan berada di majlis atau suasana lagha. Jangan sama sekali mengumpat atau membicarakan perkara-perkara gossip serta isu-isu yang kita sendiri tidak menghetahui kesahihannya. Dalam ayat 36, surah al-Isra’, Allah SAW selepas menegah kita memperkatakan sesuatu yang kita sendiri pun tidak mengetahuinya, memberi amaran bahawa telinga, mata dan hati akan ditanya oleh-Nya pada hari Akhirat kelak. Jangan ketawa berdekah-dekah. Saidina Abu Bakar berkata, ketawa berdekah-dekah itu mematikan hati.

Apakah kaitan amalan-amalan yang dibincangkan di perenggan 3, 4 dan 5 di atas dengan proses penghafazan al-Quraan?. Sesungguhnya seseorang yang menghafaz al-Quraan itu, mukanya adalah cerminan perkara yang ada dalam hatinya. Jika di hadapan kita ia dia menunjukkan kebaikan dan kejujurannya, di belakang kita dia mendoakan keampunan dan kebaikan buat kita. Sesungguhnya juga al-Quraan itu Nur yang suci daripada Allah (at-Taghaabun, 8) yang hanya boleh ditulis dalam hati insan-insan yang berusahanya mensucikan hatinya. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang sentiasa mensucikan jiwanya (as-Syams, 8) .
6. Take care!.

Jaga diri sendiri, jaga kesihatan, jaga pemakanan. Hal ini bukan sahaja soal kesihatan, bahkan berkali-kali Allah mengulangi dalam al-Quraan perintah supaya orang-orang mukmin mengambil berat soal makan minum yang baik-baik. Contohnya, cuba lihat ayat-ayat 168 dan 176, surah al-Baqarah. Cuba juga lihat doa Nabi Ibrahim buat anak-cucunya dan untuk kita semua dalam ayat 126 surah al-Baqarah dan ayat 37 surah Ibrahim. Rasional amalan penjagaan kesihatan dan pemakanan ialah tugasan menghafaz al-Quraan bukanlah kerja yang mudah. Tugasan ini memerlukan bekalan makanan dan zat yang mencukupi untuk otak kita. Badan kita yang menyokong otak kita itu pula perlu cukup sihat dan cukup kuat. Ingatkah kita firman Allah yang menyatakan jika al-Quraan itu diturunkan ke atas gunung, gunung akan runtuh. Di samping itu, banyak doa-doa RasulAllah yang berkaitan dengan kesihatan. Amalkannya!.
7. Tunaikan tanggungjawab sebagai seorang hafiz.

Satu daripadanya ialah jika dikehendaki mengimami solat, jangan cuba mencari ‘excuse’ untuk menolak. Hal ini kerana menurut syara’ tugasan ‘keimaman’ adalah tertanggung ke atas pundak seseorang yang baik bacaan al-Quraannya dan seseorang yang lebih banyak hafazannya. Eloklah kita tidak menganggap mana-mana ayat yang Allah berikan kepada kita menghafaznya sebagai pemberian percuma. Hadiah tersebut datang dengan tanggungjawab. Laksanakan tugas keimaman dengan komitment yang terbaik. Di samping itu, jagalah hak makmum sebaik-baiknya. Jika membaca surah yang panjang, jangan cuba melebihi amalan para Sahabat. Namun, jika kita tidak dijemput untuk menjadi imam, janganlah mengharap sama sekali. Kelak timbul rasa ‘riya’. Tiada salahnya jika kita terus menjadi makmum. seperti yang dibincangkan di atas, banyak Sahabat RasulAllah yang ternama dan menjadi ahlul-jannah yang menghabiskan sebahagian besar hayat mereka hanya menjadi makmum. Kalau orang lain yang sentiasa mengimami kita mutu bacaannya ‘agak rendah’, kalau kita tidak mampu menegurnya, jangan ‘mengkritik di belakangnya. Malahan, sentiasalah berdoa supaya solatnya diterima Allah. Jika kita diminta orang untuk berdoa untuk dirinya, laksanakan dengan sebaik-baiknya. Jika kita diminta mengajar al-Quran atau apa-apa ilmu, laksanakannya dengan tidak mengharapkan apa-apa habuan atau pengiktirafan. Harapkan keredhaan Allah dan Rasul-Nya jua yang harganya lebih mahal daripada dunia dan segala isinya.

Kesimpulannya, berakhlakkan al-Quraan ialah sebesar-besar sunnah RasulAllah SAW. RasulAllah SAW hidup dengan al-Quraan dan al-Quraan ‘hidup’ dalam kehidupan hariannya. Bagi menjayakan cita-cita untuk menghafaz al-Quraan kita perlu menyediakan diri dengan belajar untuk menghayati cara untuk ‘menghidupkan’ al-Quraan dalam diri kita.



1 comment:

  1. tq utk tip yang diberi....... sy berniat utk hafaz quran. cuma sy kecewa dan bimbang... adakah tidak menjadi masalah menghafaz quran tanpa pembimbimg...? sila jwb ke Saidi89_eff@yahoo.com.my

    ReplyDelete

Komen


Sila ambil maklumat :) Dont Forget to Follow..

Subscibe Here