Friday, October 31, 2008

Tip Tahfiz 6 (Tip Menghafaz al-Quran)

#19 : Ambil Tahu Ilmu Sokongan 1

Menghafaz al-Quraan sambil mengambil tahu ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kandungan al-Quraan itu sendiri boleh mempercepatkan hafazan. ‘Mengambil tahu’ bermaksud memahami prinsip-prinsip asas ilmu berkenaan. Maksudnya, tidaklah sampai ke tahap benar-benar menguasai ilmu berkenaan. Antara ilmu-ilmu yang harus diambil tahu ialah prinsip-prinsip asas bahasa Arab, hukum-hukum fiqh asas, peristiwa-peristiwa besar dalam seerah RasulAllah SAW, ringkasan kisah-kisah para nabi dan perkara-perkara yang berkaitan dengan ‘ulum al-Quraan. Pengetahuan asas dalam ilmu berkenaan dapat membantu apabila kita berada dalam kekeliruan atau terpaksa membuat tekaan (guessing) apabila kita terlupa sesuatu ayat. Sesi ini akan membicarakan persoalan keperluan bahasa Arab asas.

Menguasai bahasa Arab memang satu kelebihan (advantage) dalam proses penghafazan tetapi bukanlah satu kemestian. Terdapat perbezaan yang ketara antara bahasa Arab seharian dan bahasa Arab rasmi dengan bahasa al-Quraan. Tidak semestinya seseorang yang fasih bercakap Arab boleh memahami al-Quraan dengan tepat. Oleh yang demikian juga, tidak semestinya seseorang yang fasih berbahasa Arab boleh menghafaz al-Quraan dengan mudah. Dewasa ini sudah menjadi tidak luar biasa apabila kita menemui seseorang yang lemah penguasaan bahasa Arabnya tetapi baik hafazan al-Quraannya. Walaupun al-Quraan merupakan bahasa Arab yang paling sempurna dan paling tinggi nilai bahasa dan kesusasteraannya, situasi yang dinyatakan tadi membenarkan firman Allah yang diulangi empat kali dalam surah al-Qamar (ayat 17, 22, 32, 40) bahawa al-Quraan itu telah dipermudahkan oleh Allah untuk orang-orang yang ingin mengingatinya.

Para penghafaz hanya perlu menumpukan penguasaan bahasa Arab dalam aspek yang menyumbang secara langsung dalam proses penghafazan. Tumpuan boleh diberikan kepada tiga aspek, iaitu:

(a) menguasai prinsip-prinsip asas nahu/qawa’id, terutamanya hukum-hukum:

(i) mubtada’, khabar, inna dan kaana;

(ii) kata bilangan (mufrad, mu’annath dan jama’);

(iii) jantina (muzakkar dan muannath);

(iv) perbuatan (fe’l, faa’el, maf’uul dan yang berkaitan dengannya);

(b) memahami dan menguasi ‘common vocabularies’ al-Quraan. Oleh kerana, seperti yang dijelaskan di atas, terdapat jurang (gap) di antara bahasa Arab yang digunakan seharian dengan bahasa al-Quraan, penghafaz al-Quraan perlu mengetahui ‘vocabulary’ yang sering digunakan dalam al-Quraan. Untuk peringkat awal menggunakan al-Quraan terjemahan amat berkesan; dan

(c) mengusai istilah-istilah syara’, contohnya istilah-istilah yang digunakan dalam hukum-hakam dan dalam ilmu aqidah. Ini kerana istilah-istilah seperti ‘iman’, ‘jihad’, ‘taqwa’, ‘jazaa (ganjaran)’, ‘iqaab (hukuman)’, ‘falah (kejayaan)’, ‘jannah (syurga)’, ‘solah’, ‘nikah’, ‘ma’ruuf’, ‘munkar’ dan ‘zakaah/tazkiyah (penyucian diri)’ amat banyak digunakan secara berulang-ulang dan dalam berbagai bentuk di dalam al-Quraan. Selain daripada menggunakan al-Quraan terjemahan, membaca buku-buku yang berkaitan dapat membantu dalam pengukuhan kefahaman istilah-istilah berkenaan.


#21 : Ambil Tahu Ilmu Sokongan 2

Selain daripada bahasa Arab (yang dibincangkan dalam Tips #19), ada beberapa bidang lagi yang harus diambil tahu bagi mempermudahkan proses penghafazan al-Quraan. Antaranya seperti yang tersenarai di bawah:

(a) Peristiwa-peristiwa penting dalam seerah RasulAllah, terutamanya:
(i) Dakwah di peringkat awal di Makkah;
(ii) Hijrah;
(iii) Perang Badar;
(iv) Perang Uhud;
(v) Perang Ahzab;
(vi) Perjanjiah Hudaibiyyah;
(vii) Futuh Makkah;
(viii) Perang Hunain.

Peristiwa-peristiwa di atas serta perkara-perkara berkaitan dan hukum-hakam yang turun bersamaan dengannya selalunya dijelaskan dengan terperinci dalam surah-surah tertentu.

(b) Hukum-hakam berikut:
(i) solat terutamanya solat Jumaat, solat jama’ dan qasar, berjamaah, dalam perang dan atas kenderaan;
(ii) hajj – prosedur pelaksanaannya diperincikan satu persatu dalam al-Quraan;
(iii) nikah – perkara-perkara berkaitannya seperti perkahwinan, perceraian dan penjagaan anak-anak disebut di beberapa tempat;
(iv) pengiraan-pengiraan dalam pembahagian pesaka;
(v) puasa Ramadhan;
(vi) perang;
(vii) makanan halal dan haram; dan
(viii)hukum-hakam yang khusus untuk muslimat.

(c) Jalan cerita kesah beberapa orang Nabi yang biasa diulangi dalam al-Quraan iaitu:
(i) Nabi Hud;
(ii) Nabi Lut; dan
(iii) Nabi Soleh;

(d) Kisah-kisah nabi yang diperincikan dalam al-Quraan itu:
(i) Nabi Musa dan Harun;
(ii) Nabi Ibrahim;
(iii) Nabi Adam;
(iv) Nabi Yusuf;
(v) Nabi Nuh; dan
(vi)Nabi Isa dan Maryam.

(d) Sains dan kejadian alam, terutamanya:
(i) peroses kejadian manusia;
(ii) kejadian langit dan cakerawala serta fenomana siang dan malam;
(iii) kejadian hujan;
(iv) fenomena kajadian bumi terutamanya tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, laut dan sungai dan
(v) fenomena alam khusus kepada orang Arab antaranya padang pasir dan unta.


Sallehuddin Ishak, Glasgow
----------------------------

No comments:

Post a Comment

Komen


Sila ambil maklumat :) Dont Forget to Follow..

Subscibe Here