Sunday, October 19, 2008

Buku perkenal ilmu bacaan al-Quran 7 imam

Buku perkenal ilmu bacaan al-Quran 7 imam



QIRAAT adalah ilmu berkait rapat dengan al-Quran yang membincangkan kaedah pembacaan al-Quran daripada pelbagai riwayat yang mutawatir daripada Baginda Rasulullah SAW.


Sejak wahyu Allah diturunkan, satu-satunya sumber pengambilan qiraat hingga kini, ilmu qiraat sentiasa dijaga, dipelajari, disuburkan dan dikembangkan oleh ulama yang silih berganti. Hukum mempelajari ilmu qiraat adalah fardu kifayah.

Judul: Manhaj Qiraat 7 Berserta Dalil Matan Imam As-Syatibi
Penulis: Ustaz Mohd Nazri Abdullah
Penerbit: Pustaka Salam Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan

ABuku Manhaj Qiraat 7 Berserta Dalil Matan Imam As-Syatibi hasil tulisan Pensyarah Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Mohd Nazri Abdullah, memperkenalkan ilmu bacaan al-Quran daripada tujuh imam yang bersambung kepada Rasulullah SAW.

Tujuh imam terbabit ialah Imam Nafi’, Imam Ibnu Kathir, Imam Abu ‘Amru, Imam Ibnu ‘Amir, Imam ‘Asim, Imam Hamzah dan Imam Kisaei. Setiap Imam mempunyai dua rawi (anak murid) yang meriwayatkan bacaan itu daripada gurunya.

Hakikatnya, ilmu qiraat agak baru di Malaysia tetapi ia cepat berkembang dengan ada maahad tahfiz di seluruh negara dan program pembelajaran al-Quran yang kian mendapat tempat di hati masyarakat seperti program realiti Akademi al-Quran (AQ).

Mungkin juga melihat kepada minat serta kecenderungan remaja sekarang mendalami al-Quran, Ustaz Mohd Nazri yang juga juri AQ, berasa terpanggil menghasilkan buku mengenai ilmu qiraat sebagai bahan bantuan kepada golongan yang ingin mendalami ilmu pembacaan al-Quran.

Jelasnya, buku ini agak teknikal dan pastinya hanya mereka yang sudah melepasi asas serta peringkat pemahaman ilmu qiraat akan mudah memahami fakta dan kaedah pembacaan yang dijelaskan dalam Manhaj Qiraat 7 Berserta Dalil Matan Imam As-Syatibi.

Namun, bagi mereka yang sudah mempunyai asas, buku ini boleh menjadi pelengkap kerana selain memuatkan biodata tujuh imam yang dikaitkan, penulis turut menerangkan cara bacaan setiap imam berserta contoh.

Buku setebal 157 halaman itu turut menceritakan mengenai sejarah pengumpulan al-Quran pada zaman Saidina Abu Bakar as-Siddiq apabila Saidina Umar mengemukakan cadangan supaya mengumpulkan al-Quran kerana khuatir daripada hilang.

Selain takut al-Quran hilang bersama gugurnya syuhada terdiri daripada sahabat Rasulullah SAW, pengumpulan al-Quran juga bertujuan menyebarkan syiar Islam.

Turut diperjelaskan dalam buku ini ialah hikmah al-Quran diturunkan dalam tujuh huruf iaitu sebagai kemudahan dan kelapangan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana bangsa Arab sendiri mempunyai bahasa Arab dan lahjah (loghat) yang berbeza.

Buku Manhaj Qiraat 7 sesuai dibaca dan dijadikan rujukan pelajar sekolah menengah, pusat pengajian tinggi, maahad tahfiz dan profesional yang ingin mendalami jenis bacaan al-Quran serta tidak ketinggalan peminat setia AQ setiap kali menonton program realiti itu.

Ustaz Mohd Nazri bagaimanapun berkata, untuk memahami dengan lebih tepat, pembaca dinasihatkan mendapat khidmat guru kerana buku berkenaan sekadar pemudah cara bagi mereka yang ingin mempelajari ilmu qiraat.

Manhaj Qiraat 7 Berserta Dalil Matan Imam As-Syatibi boleh diperoleh di Pustaka Salam atau hubungi 019-2241675.

No comments:

Post a Comment

Komen


Sila ambil maklumat :) Dont Forget to Follow..

Subscibe Here