Kuasai al-Quran dengan lahjah Arab
ISLAM itu indah dan Allah SWT hanya menyukai yang indah. Al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah kitab terindah yang tiada tandingan.
Keindahan al-Quran tidak boleh disaingi oleh apa-apa dan sesiapa pun dari dulu, kini dan selamanya. Malah ia akan kekal indah sampai kiamat, itu jaminan Allah SWT sebagaimana mafhum-Nya: Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya (ayat ini memberikan jamin
an tentang kesucian dan kemurnian al-Quran selama-lamanya). (al-Hijr: 9)
Namun keindahan mukjizat paling agung kurniaan Allah kepada Rasulullah SAW untuk umatnya dan seluruh isi alam yang melengkapi semua isi kitab-kitab terdahulu itu tidak bermakna jika al-Quran tidak dibaca, dipelajari, diamal dan dimanfaatkan sebaiknya.
Ini kerana keindahan ayat-ayat al-Quran hanya hidup dan menjalar ke sanubari setiap mukmin jika ia dijadikan bacaan harian dan beramal dengannya.
Antara prasyarat bagi mendapatkan nur, hidayah dan petunjuk dari al-Quran pula, ia hendaklah dibaca secara bertartil, bertajwid dan mengikut qiraat-qiraat yang betul serta menepati kaedah Bahasa Arab.
Terkesan
Arahan ini terkandung dalam firman Allah SWT yang mafhumnya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan mu Yang menciptakan. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. (al-‘Alaq: 1-3).
Dalam ayat lain, Allah berfirman: ... Dan bacalah Al Quran itu dengan bertartil. (al-Muzzammil: 4).
Sebabnya, susunan ayat-ayat al-Quran lebih indah
dan terkesan lagi mengasyikkan bukan hanya kerana ia mukjizat yang menjadi cahaya petunjuk untuk seluruh isi
alam, tetapi juga kerana burdah-burdah (bunga-bunga) bahasanya.
Lebih-lebih lagi apabila burdah-burdah bahasa al-Quran itu dialun secara bertarannum mengikut kepelbagaian jenis tarannum sama ada secara bayaati, soba’, hijaz, nahwand, sikah atau warst yang berseni dan unik itu.
Alunan dari ayat-ayat al-Quran tidak akan dapat ditandingi mana-mana melodi muzik dari lirik lagu-lagu pop mahupun bait-bait syair tersohor rekaan manusia.
Keluasan cabang seni al-Quran yang meliputi seluruh isi alam pula boleh dilafaz dalam bermacam qiraat sesuai dengan kelaziman loghat sebutan orang-orang Arab ajam (Arab biasa).
Ia sama ada mengikut qiraat riwayat Qalun, Warsy, Hafs, Ad-Duri, As-Susi, Al-Bazi, Qunbul, Hisyam, Ibnu Zakwan, Syu’bah, Khallad, Al-Harith atau Khalaf melalui manhaj imam-imam qiraat yang diiktiraf oleh jemaah ulama qiraat.
Ini kerana dalam melafaz dan mempelajari kandungan al-Quran, aspek tajwid, qiraat dan tarannum adalah pakej wajib yang melengkapkan keilmuan Kalam Allah itu jika kita mahu mengekalkan al-Quran sebagai imam dan mengharap mati dalam petunjuk-Nya.
Untuk itu, tegas Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sabri Mohamad, setiap huruf dalam ayat-ayat al-Quran mestilah diberi hak masing- masing yang wajib ditunaikan dalam pembacaan.
Katanya, makhraj dalam setiap 29 huruf hijaiyyah yang terkandung dalam al-Quran mempunyai hak sebutan tersendiri masing-masing.
“Sebab itulah membaca al-Quran secara bertartil iaitu dengan bertajwid, berqiraat dan bertaranum adalah suatu tuntutan,” jelasnya.
Beliau memberitahu demikian ketika membicarakan mengenai ‘Menghalusi Makhraj Huruf-huruf Hijaiyyah’ pada Bengkel Tahsin Al-Qiraat kelolaan Masjid Negara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengembangkan
Bengkel sehari yang disertai kira-kira 200 pencinta al-Quran sekitar ibu kota itu adalah antara usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Masjid Negara bagi mengembangkan ilmu kepelbagaian bacaan qiraat dan tarannum al-Quran kepada masyarakat.
Sabri bagaimanapun mengingatkan, agar seseorang tidak mudah taksub dan berbangga dengan kemampuan menghafaz dan membaca ayat-ayat al-Quran.
“Al-Quran bukan milik kita. Allah boleh ‘ambil’ al-Quran daripada seseorang pada bila-bila masa Dia mahu.
“Apabila Allah sudah ‘ambil balik’ al-Quran dari seseorang, akan lupalah kita pada ayat-ayat tersebut walaupun ia ayat lazim yang menjadi bacaan wajib dalam solat,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Khidmat Sosial Masjid Negara, Mohd. Ali Sarbini pula menasihatkan masyarakat khususnya ibu bapa agar tidak terlalu ekstrem dengan al-Quran.
Katanya, jangan pula ibu bapa menghantar semua anak-anak ke sekolah tahfiz dan mengabaikan ilmu-ilmu lain kerana mengharapkan syafaat al-Quran selepas mati.
“Syafaat al-Quran yang diharapkan dari anak-anak tidak akan sampai jika ibu bapa sendiri tidak solat dan tidak ambil tahu tentang kitab suci ini,” jelasnya.
Mengenai melagukan ayat al-Quran pula, pensyarah tarannum dari Jakim, Ahmad Mustafa Mohd. Sidin berkata, seseorang perlu mengalunkan ayat-ayat dari Kalam Allah itu mengguna keaslian suara masing-masing.
Menurutnya, nilai suara yang baik dan berkualiti adalah yang menepati lahjah Bahasa Arab yang betul.
“Adalah suatu kesalahan besar jika ayat-ayat al-Quran dilafaz mengikut lahjah kedaerahan yang bukan berlahjah Arab yang betul,” jelasnya.
Sehubungan itu, kata Ahmad Mustafa, penting bagi setiap muslim berusaha meluangkan masa untuk mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu al-Quran.
Al-Quran menurut beliau, tidak boleh dipelajari melalui buku-buku bacaan, cakera padat dan Internet sebaliknya wajib secara bertalaqqi dengan guru-guru bertauliah yang mahir dan berilmu secara berdepan.
Oleh itu, luangkanlah masa anda walau hanya 10 minit setiap hari untuk berbicara terus dengan Allah s.w.t. melalui Kalam Nya dengan membaca al-Quran.
Allah SWT berfirman dalam mafhum-Nya: Dan al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat. (al-An’aam: 155).
Oleh w. rahimah draman
No comments:
Post a Comment
Komen