Hukum Mengamalkan (Praktik) Qiraat dan hukum mengingkarinya.
Umum sedia maklum hukum mempelajari dan mempraktikkan al-Quran, namun masih ramai yang keliru atau masih terkial-kial mencari jawapan hukum mempelajari dan mempraktikkan bacaan secara berQiraat bagi al-Quran.
Plot permasalahan ini dapat kita pecahkan kepada beberapa cabang. Antaranya ialah :
a) Hukum mempelajari ilmu al-Qiraat.b) Hukum beramal dengan bacaan Qiraat
- Qiraat Mutawatirah
- Qiraat Syadz
- Membaca di dalam dan di luar sembahyang.
a) Hukum mempelajari ilmu al-Qiraat.
Hukum mempelajari ilmu Qiraat adalah fardu kifayah. Jadi setiap individu Muslim mesti mempunyai kesedaran berkait hal ini, setiap individu perlu berusaha mempelajari ilmu ini sekadar mampu. Jika tidak, mereka perlu berusaha untuk membolehkan ada kelompok di kalangan mereka mengusai ilmu ini dengan memberi segala bentuk pertolongan dan dorongan kepada golongan ini kerana jika tidak ada kelompok yang menguasai ilmu ini maka seluruh masyarakat itu berada di dalam dosa kerana terkubur sebahagian besar dasar Islam yang terkandung di dalam al-Quran bakal lesap kerana al-Quran diturunkan dalam Qiraat yang pelbagai dan membawa kepada pecahan hukum yang pelbagai.
b) Hukum beramal dengan bacaan Qiraat.
Qiraat Mutawatirah
Hukum beramal dengan bacaan Qiraat Mutawatirah adalah SAMA seperti yang kita fahami tentang HUKUM BERAMAL DENGAN BACAAN AL-QURAN iaitu membacanya diberikan pahala khusus seperti yang tersebut di dalam hadis-hadis Rasul SAW.
Qiraat Mutawatirah ini boleh dibaca di dalam atau di luar sembahyang. Tetapi bagi mengelakkan kekeliruan di dalam masyarakat yang kurang arif tentang wajah Qiraat yang akan dibaca seelok-eloknya diterangkan terlebih dahulu bahawa bacaan al-Quran secara Qiraat yang berlainan akan diperdengarkan.
Wajah Qiraat yang pelbagai boleh dibaca walaupun di dalam satu sembahyang, sebagai contoh bacaan al-Fatihah dibaca dengan Riwayat Hafs dan bacaan surah selepasnya boleh dibaca dengan bacaan Riwayat Syu’bah. Tetapi harus diingat bahawa mesti terdapat “Fasilah” atau pembeza yang jelas selang bacaan antara kedua-dua riwayat qiraat yang berbeza agar tidak berlaku “tarkib al-Qiraat’ atau “talfiq al-Qiraat” yakni percampuran Qiraat (kaedah bacaan), bagi sesiapa yang pernah bertarawikh di Masjid al-Azhar sekitar tahun 2004 M mereka dapat menikmati kepelbagaian bacaan Qiraat jika ketika itu solat tersebut diimamkan oleh al-Syeikh Abdul Hakim Bin Abdul Shomad (salah seorang Masyayikh Qura’ di Mesir).
(Syeikh Abdul Hakim di Halaqah Masjid al-Azhar)
Qiraat Syadz
Hukum beramal dengan bacaan Qiraat Syadz adalah BERBEZA dengan apa yang kita fahami tentang HUKUM BERAMAL DENGAN BACAAN AL-QURAN. Bagi Qiraat Syadz ini kita digalakkan untuk mempelajari dan mendalaminya kerana melalui Qiraat Syadz ini kadang-kadang kita dapat mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan lebih tepat kerana kebanyakan Qiraat Syadz adalah penambahan atau perincian bagi ayat-ayat Quran seperti pada ayat “Solatul wustho..” ada Qiraat Syadz “Solatul wustho Sholatul ‘Asr..”.
Bacaan-bacaan ini menjadi Syadz kerana tidak sempurna tiga Rukun Qiraat Mutawatirah. Tiga rukun tersebut ialah :-
• Sanad qiraat hendaklah sahih datang dari Rasulullah s.a.w.
• Menepati lughah (bahasa) arab yang fasih.
• Menepati Rasm Mushaf Othman atau salah satu darinya.
Jika salah satu rukun dari rukun-rukun tersebut tidak terdapat dalam satu-satu
bacaan, maka bacaan akan ditolak atau di gelar Qiraat Syadz. Perkara ini hampir sama atau boleh difahami dengan memahami kaedah pen”Shohih”an atau pen”Dhoif”an hadis-hadis yang dikatakan datang dari Rasul SAW.
Qiraat Syadz ini terbahagi kepada pelbagai kategori ada yang boleh diterima dan ada yang ditolak secara terus seperti juga dalam pembahagian hadis-hadis yang dikatakan datang dari Rasul SAW.
Qiraat Syadz ini tidak boleh dibaca di dalam sembahyang kerana ia bukanlah bacaan al-Quran yang tepat atau sebenar, jika dibaca di dalam sembahyang maka sembahyang itu akan batal kerana menyebut perkataan selain al-Quran di dalam sembahyang.
c) Hukum mengingkari bacaan secara Qiraat.
Perbahasan berkaitan perkara ini agak panjang lebar diperbahaskan oleh para ulama kerana terdapat perbezaan di kalangan ulama mentafsirkan perbezaan dan persamaan antara QIRAAT dan AL-QURAN.
Secara ringkasnya boleh difahami seperti berikut :
- Ulama yang berpendapat Qiraat dan al-Quran adalah sama yakni seluruh bacaan Qiraat adalah al-Quran. Maka mereka menkategorikan kelompok yang mengingkari Qiraat Mutawatir secara sengaja samada salah satu wajah atau sebahagian atau satu huruf sekalipun adalah KAFIR kerana mengingkari al-Quran.
- Ulama yang berpendapat Qiraat dan al-Quran adalah perkara yang sama tetapi tahap penyampaian dan pemakluman bagi umat Islam adalah berbeza . Para ulama telah membincangkan adakah Bacaan Qiraat ini sampai pada tahap “al-Maklum min al-Deen bi al-Dhorurah”, jika perkara ini dianggap sebagai sampai pada tahap “al-Maklum min al-Deen bi al-Dhorurah” maka mengingkari Qiraat adalah sama hukumnya seperti mengingkari al-Quran. Tetapi kebanyakan ulama berpendapat bahawa al-Qiraat adalah belum sampai pada tahap “al-Maklum min al-Deen bi al-Dhorurah” Jadi jika ada yang mengingkarinya tidak sampai pada tahap KAFIR.
Namun begitu, para ulama berpendapat bahawa sesiapa yang mengingkari bacaan Qiraat Mutawatirah yang telah disepakati keshohihannya adalah tergolong dalam golongan yang mengingkari al-Quran.
- Qiraat yang sabit kesohihannya dan sampai pada tahap “al-Maklum min al-Deen bi al-Dhorurah”.
- Perkara yang diingkari itu bukanlah perkara yang syubhat atau wujud keraguan atau perselisihan padanya.
- Orang yang mengingkari Qiraat itu adalah orang tahu bahawa Qiraat itu Shohih Tsubut dan mengingkarinya secara sedar dan sengaja.
Wallahuaklam.
Rujukan :
Abdelhalim Gaba (1999). Qiraat Quraniah tarikhuha Tsubutuha Hujjatuha wa Ahkamuha, Dar al-Ghab al-Islami,
Mausuah al-Quraniah al-Mukhasasah (2002). Wizarah al-Auqaf al-Majlis al-‘Akla li Syuun al-Islamiah, Kaherah.
Disediakan oleh : Mohamad Zaki Bin Abdul Hamid
Insaniah, Kedah
syuran syeikh
ReplyDelete