Tuesday, October 14, 2008

TAJUK: ADAKAH TALAQQI ANDA SUATU HUJJAH?


قال الله : وإنك لتلقى القرءان من لدن حكيم عليم

Ayat di atas secara jelas memberitahu kepada kita bahawa Al-Quran dan Talaqqi merupakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan, bahkan ia adalah satu-satunya cara Al-Quran disampai,dipindah dan diperturunkan seawal penurunannya kepada Rasulullah S.A.W seterusnya para sahabat dan begitulah sunnahnya generasi ke generasi sehingga hari Kiamat.


Apabila kita menyentuh persoalan hujjah bermakna kita ingin mengetahui sejauh mana sesuatu perkara itu mempunyai "kekuatan" dalam menegak dan mempertahankan sesuatu dasar,pendapat,tafsiran dan perkara-perkara lain supaya ianya diperakukan dan diterimapakai oleh semua pihak. Maka persoalan yang ingin penulis ajukan di sini ialah sejauh mana kekuatan TALAQQI itu di dalam menjadi hujjah pada satu-satu situasi. Situasi yang dimaksudkan di sini ialah apabila kita berhadapan dengan mereka yang sering berkata " saya talaqqi dengan Syeikh macam tu.."atau "saya baca dengan ustaz saya macam ni…" apabila berlaku perselisihan dan perbezaan pendapat di dalam masalah yang berkaitan dengan cara-cara bacaan seumpama panjang-pendek mad, ikhfa', idgham, ikhtilas, isymam, raum, imalah dan lain-lain. Adakah frasa atau ungkapan tersebut semata-mata boleh menjadi hujjah? Seterusnya mampukah ia digunakan oleh semua orang yang bertalaqqi tanpa mengira latar belakangnya terutamanya tahap keilmuannya? Adakah semua orang mempunyai kemampuan yang sama dalam bertalaqqi?


Sesungguhnya talaqqi Al-Quran itu bermaksud mempersembahkan bacaan Al-Quran sepertimana yang didengar atau dilihat daripada guru dengan diperhatikan dan dipimpin bacaan tersebut agar tepat dan betul. Dikenali juga dengan Al-Musyafahah dan Al-A'rd. Ia merupakan proses pembelajaran interaktif yang menjadi sunnah para Qurra' dan Ulamak bukan sahaja di dalam pengajian Al-Quran bahkan semua bidang ilmu Islam. Apabila bertalaqqi, kita akan sedaya upaya "meniru" gaya dan cara bacaan guru kita sama ada sebutan huruf, panjang-pendek dan sebagainya. Namun hakikatnya talaqqi yang sebenar jauh lebih luas daripada hanya sekadar peniruan gaya dan cara (
( التقليد Al-Imam Ibnu Mujahid[1] seawal kurun keempat telah menjawab persoalan ini.Beliau berkata di dalam kitabnya السبعة : Di kalangan حملة القراءات [2] ada empat golongan :

1) Yang mu'rib[3] dan alim mengenai wajah-wajah I'rab(ilmu Nahu dan Saraf) dan Qiraat.[4]Juga yang mengetahui ilmu Al-Lughat(termasuk Lahajat Al- Arabiyyah) dan makna-makna kalimah.[5]Juga yang mengenal kelemahan-kelemahan dalam Al-Qiraat serta yang mengetahui ilmu Al-Riwayat.[6]Mereka inilah yang dipanggil Al-Imam.

2)Yang mu'rib walaupun tiada ilmu mengenai I'rab,mereka ini adalah Al-A'rabi yang membaca semata-mata berdasarkan amalan kebiasaan di dalam pertuturan seharian mereka.

3)Mereka yang membaca berdasarkan apa yang dipelajari secara praktikal, tiada ilmu mengenai I'rab mahu pun ilmu-ilmu lain yang disebutkan di atas.Mereka semata-mata menghafal, tidak mustahil pada suatu hari mereka akan lupa maka mengakibatkan kesalahan I'rab, mereka hanya bergantung kepada apa yang dihafal dan yang didengar semata-mata tanpa bersandarkan kepada apa-apa ilmu yang berkaitan. Akibatnya mereka akan keliru seterusnya melakukan kesalahan tanpa disedari atau sedar tetapi terus mempertahankan bacaan mereka semata-mata berhujjahkan talaqqi mereka. Mereka ini tidak sepatutnya diikuti dan talaqqi mereka tidak boleh dijadikan hujjah.

4) Mereka yang mempunyai ilmu-ilmu yang disebutkan tadi tetapi tiada ilmu tentang Qiraat dan riwayat. Mereka ini ditakuti akan membaca dengan bacaan-bacaan yang mereka rasakan betul daripada segi Nahu walau pun tidak thabit daripada segi Qiraat (iaitu tidak dibaca oleh mana-mana Imam).[7]

Klasifikasi oleh ibnu Mujahid ini jelas menunjukkan bahawa talaqqi yang menjadi hujjah itu bergantung kepada sejauh mana ilmu dan kefahaman orang yang bertalaqqi itu sendiri terhadap apa yang ditalaqqinya. Kefahaman ini meliputi segala tatacara bacaan secara ilmiyyah tidak semata-mata samai'yyah,nazariyyah(teori) tidak hanya tatbiqiyyah(praktikal) serta berdasarkan dirayah tidak hanya riwayah. Maka sekiranya syarat-syarat ini dipenuhi, maka talaqqi golongan ini dikira sebagai hujjah. Sementara golongan yang kedua dan ketiga, mereka tidak layak untuk berhujjah dengan talaqqi kerana tiada ilmu, mereka hanya bersandarkan saliqah(kemampuan berbahasa kerana kearaban) sepertimana golongan kedua dan sama'iyyah serta hafalan(golongan ketiga). Manakala golongan keempat, ketiadaan ilmu Qiraat dan Riwayat menyebabkan mereka juga tidak layak untuk dikuti di dalam bidang bacaan Al-Quran walau pun mereka adalah ulama'. Ibnu Mujahid agak panjang ketika memberi komen terhadap golongan yang ketiga. Mungkin disebabkan ramainya golongan yang mendakwa kesahihan Qiraat mereka pada kurun keempat hijrah yang menyebabkan beliau meletakkan kriteria-kriteria tersebut di dalam memilih Qiraat sepertimana disebutkan pada golongan yang pertama (yang digelar al-Imam).


Hakikatnya golongan ketiga inilah yang sering menjadikan talaqqi sebagai hujjah tanpa menyedari erti talaqqi yang sebenar. Mereka hanya bersandarkan "peniruan" mereka terhadap gaya bacaan guru tanpa mengetahui segala ilmu yang berkaitan dengan tatacara yang dituruti itu. Sebagai contoh: Seseorang itu telah khatam 30 juzuk Al-Quran tetapi tidak pernah belajar ilmu tajwid atau pun belajar tanpa menguasainya. Bacaan Al-Qurannya yang banyak salahnya itu telah ditegur oleh seorang yang lain yang mungkin belum khatam tetapi bacaannya agak baik kerana pengetahuan tajwid yang ada padanya. Lalu yang ditegur itu tidak mahu mengaku kesalahannya semata-mata kerana dia telah khatam dan mengatakan " saya baca dengan ustaz macam tu ". Situasi seumpama ini mungkin berlaku akibat ketidakfahaman terhadap konsep talaqqi yang sebenar iaitu talaqqi yang bersandarkan ilmu, bukan sahaja ilmu Tajwid dan Qiraat yang menyentuh soal kaedah-kaedah sebutan yang fasih seperti mana yang ditetapkan oleh para ulama', bahkan melampaui ilmu-ilmu yang berkaitan bahasa Al-Quran itu sendiri.

Tidak dapat dinafikan bahawa talaqqi adalah rukun utama di dalam memastikan kesahihan sumber bacaan kita secara bersanad daripada guru yang bersambung dengan Rasulullah S.A.W, namun talaqqi akan terdedah kepada kesalahan jika tidak disertai dengan ilmu yang berkaitan dengannya bagi memastikan kesahihan setiap bacaan yang ditalaqqi. Sebagai contoh : jika ada orang mempersoalkan cara sebutan huruf (ض) yang kita sebut, maka sewajarnya kita menjawab " saya talaqqi begini dengan guru saya, kerana huruf ini sifatnya…….dan makhrajnya……di dalam kitab …….dan sebagainya". Barulah layak bagi kita untuk menjadikan talaqqi kita itu suatu hujjah.

Persoalan ini sengaja diutarakan oleh penulis agar kita bermuhasabah dan menyedari bahawa untuk menjadi seorang yang mahir dengan Al-Quran bukanlah semudah yang disangka. Buktinya bukan semua sahabat Rasulullah menjadi Muqri' tetapi hanya sebilangan sahaja seumpama Ubay bin Kaab, Zaid bin Thabit, Uthman bin Affan, Abu Musa Al Asyari dan lain-lain. Seterusnya bukan mudah untuk menagih janji Allah sepertimana disebut di dalam hadith:الماهر بالقرءان مع السفرة الكرام البررة dan untuk menjadi أهل الله وخاصته . Tidakkah kemulian ini suatu anugerah Allah kepada mereka yang meniti di bibir mereka ayat-ayat suciNya sepertimana ia meniti di bibir kekasihNya S.A.W? Maka dengan itu sama-samalah kita tingkatkan penguasaan ilmu kita dengan bersungguh-sungguh. Sesungguhnya ilmu yang ditimba dengan hati yang penuh ikhlas serta kesedaran yang jitu akan membuahkan taqwa. Firman Allah :

واتقوا الله ويعلمكم الله والله بكل شىء عليم



[1]Al-Imam Abu Bakr Ahmad bin Musa(245H-324H),yang bertanggungjawab memilih 7 Qurra dan Qiraat mereka yang dikenali dengan Al-Qiraat As-Saba'h yang seterusnya menjadi ijma' seluruh umat Islam di atas kemutawatirannya.

[2] Bermaksud mereka yang terlibat di dalam Al-Qiraat dan Al-Iqra' iaitu yang membaca dan menyampaikan bacaan Al-Quran kepada orang lain.

[3] Bermaksud yang mengamalkan I'rab dan tidak melakukan Al-Lahn (kesalahan Nahu) di dalam pertuturan mereka.

[4] Wajah-wajah Qiraat bermaksud perbahasan ilmu taujih al-Qiraat.

[5] Ilmu ini juga dikenali dengan Ilmu Al- Dalalat Al-Lughawiyyah.

[6] Iaitu ilmu mengenai sistem periwayatan,sanad dan sebagainya sepertimana di dalam Ulum Al-Hadith.

[7] Diolah daripada petikan daripada kitab Al-Saba'h.

Coretan : Ikmal Zaidi bin Hashim.


No comments:

Post a Comment

Komen


Sila ambil maklumat :) Dont Forget to Follow..

Subscibe Here