1. PENDAHULUAN
Qiraat adalah bentuk masdar daripada qara’a atau jamak daripada qiraah yang ertinya bacaan. Menurut istilah ilmiah, qiraat adalah satu mazhab(aliran) pengucapan Al-Quran yang dipilih oleh salah seorang Imam qurra’ sebagai suatu mazhab yang berbeza dengan mazhab lainnya. Dengan kata yang lain ia membawa maksud perbezaan-perbezaan dalam membaca Al-Quran, iaitu perbezaan lafaz-lafaz Al-Quran mengenai huruf-huruf dan cara mengucapkannya di segi tebal atau nipis, panjang pendeknya dan sebagainya.
Muhammad Abdul Azim Az-Zarqani mengatakan: "Qiraat ialah suatu mazhab yang dipilih oleh imam qiraat yang mana antara satu dengan lainnya tidak sama dalam menuturkan Al-Quran." Muhammad Salam Muhsin mengatakan: “Qiraat adalah satu ilmu yang membahaskan tentang cara pertuturan kalimat-kalimat Al-Quran serta cara pelaksanaannya dengan menisbahkan setiap wajahnya kepada seorang Imam pakar qiraat.”
Muhammad ‘Ali Shabuni mengatakan: "Qiraat ialah suatu cara daripada beberapa cara mengucapkan Al-Quran yang masing-masing imam itu memilih satu cara yang berbeza dengan yang lainnya dalam mengucapkan Al-Quran”.
Definisi tersebut di atas, dapatlah kita simpulkan qiraat adalah suatu ilmu pengetahuan mengenai cara melafazkan Al-Quran secara praktikal dengan pengucapannya yang baik, sama ada disepakati atau diperselisihkan kesahihannya dengan berpandukan pada mazhab-mazhab yang diakui sanadnya hingga sampai kepada Rasulullah SAW.
2. Bincangkan sejarah perkembangan Ilmu Qiraat di Malaysia dengan mengambil kira peranan institusi-institusi yang terlibat. (15 markah)
2.1 Sejarah perkembangan Ilmu Qiraat di Malaysia
Ilmu Qiraat dianggap asing oleh masyarakat melayu kerana ia tidak diperkenalkan secara meluas di negara kita, sedangkan ia berkembang dengan meluasnya pada zaman Rasullullah s.a.w dan selepasnya. Tetapi hakikatnya, ilmu Qiraat bukannya suatu ilmu yang asing bagi umat Islam di Malaysia, malah al-Quran yang dibaca sekarang adalah sebahagian daripada ilmu Qiraat itu sendiri. Pengajian tilawah al-Quran di Malaysia berjalan seiring dengan perkembangan dakwah Islam yang telah sampai di gugusan nusantara sejak sekian lama dahulu. Ketika itu, pengajian tilawah al-Qur’an hanya diajar oleh para ulama’ dan guru-guru agama melalui institusi pondok, madrasah atau rumah kediaman mereka.
Mengikut sejarah perkembangan ilmu tajwid, penyusun ilmu tajwid yang pertama dalam bahasa Melayu adalah seorang ulamak yang bernama Muhammad Salih bin Ibnu Mu’ti bin Syeikh Muhammad Salih al- Kalantani. Asal usulnya tidak diketahui tetapi mengikut sejarah nama di akhir adalah al-Kalantani, berkemungkinan beliau berasal dari kelantan.( nama ini terdapat dalam sebuah buku karya beliau ). Berdasarkan kepada bukunya mengenai ilmu tajwid, yang bertajuk “ Mir’atul Quran fi Tashili Ma’rifati Ahkamit Tajwid lil Mulkil Wahhab” dihasilkan pada tahun 1193H bersamaan 1779M adalah tarikh terawal mengenai ilmu itu yang ditulis dalam bahasa Melayu. Beliau juga telah mengambil kitab tafsir Bahasa Melayu “Turjumanul Mustafid”, Karya Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri yang merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu. Buku ilmu tajwid karya Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti ini telah disalin semula oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu bermula pada tahun 1235H (1819) dan disiapkan pada tahun 1265H bersamaan 1848M.
Susunan Mir’atul Quran karya beliau mengandungi hukum-hukum tajwid yang biasa dibicarakan dalam kitab-kitab lain dan membicarakan fasal-fasal dan beliau mula membandingkan wajah-wajah bacaan imam-imam qiraat yang terkenal seumpama Syeikh Hafas, Syeikh Qalun, Syeikh Nafi’, Syeikh Abu Umar, Syeikh Ibnu Katsir, Syeikh Ibnu ‘Amir, Syeikh Kisa-I, Syeikh ‘Asim dan ramai lagi.
Setelah negara mencapai kemerdekaan sekolah-sekolah rasmi kerajaan pula turut menyediakan pengajian yang berhubung dengan tilawah al-Quran dan perkara yang melibatkan ilmu Qiraat tidak di perluaskan. Ini adalah kerana keutamaan dalam mempelajari bacaan al-Quran adalah membaca beserta dengan tajwid dan menjadi kewajipan bagi guru-guru al-Quran memberi penekanan serta tumpuan kepada kaedah bacaan al-Quran beserta tajwid. Seperti mana yang di utarakan oleh Imam Ibnu al-Jazari[1]
Maksudnya:
“Mengamalkan tajwid itu ( ketika membaca al-Qur’an ) satu kewajipan, Sesiapa yang tidak mengelokkan bacaan (membaca al-Qur’an beserta tajwid) adalah berdosa, Kerana beserta tajwidlah Tuhan menurunkan al-Qur’an, Dan begitulah kepada kita sampainya bacaan”.
“Mengamalkan tajwid itu ( ketika membaca al-Qur’an ) satu kewajipan, Sesiapa yang tidak mengelokkan bacaan (membaca al-Qur’an beserta tajwid) adalah berdosa, Kerana beserta tajwidlah Tuhan menurunkan al-Qur’an, Dan begitulah kepada kita sampainya bacaan”.
Justeru itu pengetahuan terhadap ilmu Qiraat ini di ketepikan dahulu agar masyarakat dapat membaca dengan betul sebelum mendalami ilmu Qiraat ini. Di samping itu juga, pengetahuan sebegini sebahagian besarnya hanya mampu di pelajari di Timur Tengah seperti Mesir, Syiria, Arab Saudi dan sesetengah negara arab yang lain maka timbullah masalah kekurangan pakar-pakar yang khusus dalam bidang ini untuk menerangkan kepada masyarakat pengetahuan tentang ilmu ini.
Keghairahan masyarakat Islam di Malaysia mempelajari seni ilmu bacaan al-Quran ini semakin meningkat. Ini terbukti dengan adanya sambutan yang menggalakkan terhadap kelas-kelas pengajian al-Quran samada dibawah kerajaan, swasta mahu pun persendirian. Walaupun begitu, sebahagian besar kelas-kelas tersebut masih lagi belum memperkenalkan ilmu Qiraat ini kerana lebih menekankan kepada memperbetul dan memperelokkan bacaan.
Masyarakat Islam di Malaysia mula memahami bahawa bacaan yang mereka pelajari selama ini adalah bacaan daripada riwayat Hafs bin Sulaiman al-Khufi melalui majlis-majlis dan tilawah al-Quran yang sebahagian besarnya menonjolkan identiti bacaan ini sekaligus memperkenalkan kepada masyarakat Islam di Malaysia bahawa bacaan yang dipersembahkan adalah mengikut bacaan riwayat Hafs bin Sulaiman al-Khufi sepertimana yang mereka amalkan sebelum ini.
Disamping itu, dengan timbulnya beberapa Maahad Tahfiz samada dibawah kerajaan atau pun swasta yang mengambil sukatan pelajaran daripada Universiti Al-Azhar, Kaherah telah membuka sedikit ruang kefahaman masyarakat Islam di Malaysia tentang ilmu Qiraat yang mana sebelum ini pengetahuan sebegitu hanya tertumpu kepada individu-individu tertentu sahaja. Sukatan pelajaran yang diambil adalah diantaranya mempelajari bacaan Qiraat melalui aliran al-Syatibiah dengan menggunakan matan al-Hirzu al-Amaani Wa al-wajhu al-Tahaani.
Justeru itu, penggunaan aliran al-Syatibiah bagi riwayat Hafs bin Sulaiman al-Khufi ini semakin popular dan terkenal dengan adanya sistem pelajaran yang sebegini dan ramainya lepasan-lepasan pelajar dari maahad-maahad tahfiz. Hakikatnya, sebelum aliran al-Syathibiah ini dikenali oleh masyarakat Islam di Malaysia sememangnya mereka sudah pun membaca mengikut aliran ini tanpa mereka sedari.
Penubuhan Darul Quran (Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat) bermula pada tahun 1966 apabila Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Putera Al-Haj melahirkan hasrat untuk mewujudkan sebuah Institut Pengajian al-Quran di Malaysia. Idea ini timbul ekoran daripada Musabaqah Al-Quran yang diadakan semenjak tahun 1960 serta lawatan Rektor Universiti Al-Azhar Sheikh Mahmud Syaltut di perasmian Masjid Negara.
Sebagai permulaan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur . Dengan penubuhan tersebut maka bermulalah pengajian dalam bidang Tahfiz al-Quran di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac, 1966. Dari tahun 1966 hingga tahun 1978 pengajian ini diletakkan di bawah kelolaan Jawatankuasa Tadbir Masjid Negara dan Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, pada tahun 1972 dan ianya diberi nama “Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat”.
Awal tahun 1979 Maahad Tahfiz ini diletakkan pula di bawah kelolaan Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1980. Selepas itu Maahad Tahfiz dipindahkan ke Bangunan JKR 588/33, Jalan Chenderasari, Kuala Lumpur dan dan kemudiannya diletakkan di bawah kelolaan Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH) Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1983. Sehinggalah pada tahun 1984 Maahad Tahfiz telah lahir sebagai sebuah Cawangan di Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri dengan organisasinya yang tersendiri.
Pada Tahun 1992 Maahad Tahfiz ini kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail bagi penempatan pelajar lelaki dan pelajar perempuan pula ditempatkan di Jalan Ledang. Pada Tahun 1994 pelajar perempuan kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail, manakala pelajar lelaki dipindahkan ke Batu 14 Sg. Semungkus Hulu Langat Selangor. Pada tahun 1997 Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah dinaikkan taraf sebagai salah satu bahagian di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diberi nama Darul Quran Akhirnya pada 1 November 1998, Darul Quran ditempatkan ke kampus tetap di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan juga di setiap negeri samada di bawah kerajaan persekutuan, negeri atau persendirian di seluruh Malaysia, seperti Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Shah Alam Selangor, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Pulai Chondong Kelantan dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ADDIN Perak. Peranannya adalah sama iaitu mengembangkan ilmu al-Quran kepada seluruh rakyat di negara ini khususnya pelajar-pelajar.
2.2 Peranan institusi-institusi yang terlibat
Darul Quran dan Maahad Tahfiz menunaikan fardu kifayahnya dengan menjadi satu pusat untuk mengembangkan ilmu Qiraat terhadap masyarakat. Dengan menunaikan tuntutan ini juga maka ia merupakan satu usaha ke arah memelihara al-Quran dari sebarang penyelewengan dengan melahirkan generasi huffazul Quran yang berpendidikan dunia dan akhirat, Melalui pendidikan di Darul Quran juga akan melahirkan insan yang mempunyai personaliti yang tinggi.
Pendidikan di Darul Quran dan Maahad Tahfiz juga bertujuan melahirkan pelajar dalam bidang tahfiz dan Qiraat. Seterusnya para pelajar di sini juga di beri pendedahan dengan ilmu dakwah dari segi kepimpinan, metodologi, komunikasi dan psikologi dakwah di mana dengan ini akan melahirkan generasi pendakwah yang akan dapat menjana masyarakat Islam yang berilmu dan dapat menjadi insan yang terpuji.
Darul Quran memainkan peranan yang penting ke arah melahirkan para huffaz dan du’at yang berkemahiran dalam bidang al-Quran seterusnya berwibawa dan berketrampilan melalui program Diploma Tahfiz Al-Quran dalam kerangka membina ummah yang berkualiti. Darul Quran dan Maahad Tahfiz juga berobjektifkan untuk melahirkan golongan professional yang hafiz, generasi yang bertakwa, berilmu dan bermanfaat serta mahir lagi berketrampilan selaras dengan keperluan ummah dan Negara. Pendidikan di Darul Quran dan Maahad Tahfiz turut menyediakan asas penjanaan ke arah melahirkan generasi cendekiawan yang berkemampuan mengembalikan tradisi zaman kegemilangan keilmuan Islam.
Pada 16 April 1983 graduan-graduan dari Darul Quran telah diberi pengiktirafan oleh JPA setaraf dengan diploma Universiti Institut Teknologi Mara bagi membolehkan pelajar-pelajar lepasan Darul Quran ini menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam atau swasta sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam, pendidik atau pendakwah atau jawatan lain dalam bidang yang memerlukan tahap profesionalisme, berwibawa serta mempunyai personality yang tinggi. Ia juga diiktiraf oleh universiti dalam dan luar Negara, khususnya di Timur Tengah. Graduan Darul Quran berpeluang mengikuti program ijazah Pertama di pusat-pusat pengajian tinggi seperti :
1-Maahad Qiraat Al-Azhar Al-Syariff
2-Universiti Malaya
3-Universiti Kebangsaan Malaysia
4-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
5-Kolej Universiti Islam Malaysia
6-Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kassim, Sumatera , Indonesia .
Manakala lepasan SPM dari Maahad Tahfiz, pelajar bebas memilih IPTA/IPTS dalam dan luar negeri mengikut cita-cita masing-masing. Pelajar yang lulus dalam peperiksaan STAM pula boleh memilih mana-mana institut pengajian di Timur Tengah, seperti Universiti Al-Azhar, Universiti Madinah , Jordan dan lain-lain. Pelajar yang menduduki peperiksaan STTQ pula berpeluang untuk menyambung pengajian secara terus dalam bidang Quran & Qiraat di Universiti Al-Azhar Cawangan Shoubra, Mesir.
Secara ringkasnya Darul Quran dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat serta institusi seumpamanya yang ditubuhkan di setiap negeri samada di bawah kerajaan persekutuan, negeri atau persendirian di seluruh Malaysia mempunyai peranan yang sama iaitu;
Ø mengembangkan ilmu al-Quran kepada seluruh rakyat di negara ini khususnya pelajar-pelajar.
Ø Melahirkan para huffaz yang mahir isi kandungan al-Quran, berilmu, beramal dan bertakwa dan efisyen tentang isi kandungan al-Quran serta dapat merealisasikan dalam masyarakat.
Ø Menyediakan kemudahan mengkaji al-Quran dan mempelajari Ulum al-Quran.
Ø Menghidupkan kembali Ulum Al-Quran dan memperdekatkan Ulum Al-Quran kepada masyarakat.
Ø Melahirkan individu yang mempunyai ilmu pengetahuan, beramal soleh, bertakwa kepada Allah s.w.t. dan berakhlak mulia dan menjadi rujukan masayarakat
Ø Memelihara isi kandungan al-Quran dan keaslian bacaannya dari sebarang penyelewengan.
Ø Menyediakan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi samada di dalam atau luar negara.
KESIMPULAN
Ilmu qiraat adalah salah satu ilmu dan cabang-cabang ilmu yang ada hubungan dengan al-Quran yang sewajarnya diberi perhatian yang serius. Ilmu Qiraat hendaklah sentiasa di pelajari, dijaga dan disuburkan melalui pusat-pusat pengajian yang mengajarkannya. Darul Quran salah satu dari pusat pengajian yang menghidupkan dan melahirkan ahli Qiraat.
Semoga Darul Quran dan Maahad Tahfiz berjaya dalam misinya untuk melahirkan para huffaz dan du’at yang berkemahiran dalam bidang al-Quran, berrpersonaliti yang tinggi, bertakwa, berilmu dan melahirkan generasi cendekiawan yang berkemampuan mengembalikan tradisi zaman kegemilangan keilmuan Islam. Semoga Allah mempermudahkan jalannya dalam mendaulatkan dan menghidupkan ilmu al-Quran. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment
Komen