TIDAK lama lagi bulan Ramadan menjelang dan diharapkan bulan yang penuh dengan keberkatan serta pengampunan ini menjadikan kita lebih mendekati Allah dan jauhkan diri daripada melakukan segala kemungkaran.
Pada bulan puasa ini jugalah umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia meraikan dengan penuh insaf dan memperbanyakkan amalan sunat dan sudah tentu amalan bersedekah dituntut sangat-sagat di bulan yang berakah ini.
Selalunya bulan puasa jugalah ada manusia yang tamak dan haloba cuba mengeksploitasikan dengan pelbagai cara dan kaedah menipu dan menindas sesama umat.
Antaranya ialah menaikkan harga barang keperluan harian seperti tepung dan kelapa, telur serta daging dan ada yang berniaga secara tidak jujur menjual makanan yang dikurangkan bahan seperti dalam kuih-muih dan lauk-pauk di pasar Ramadan dan ada yang tergamak menjualkan makanan yang sudah basi, dijual semula lebihan jualan yang tidak laku pada hari sebelumnya.
Dalam bulan Ramadan juga entah daripada mana datangnya peminta sedekah menadah mangkuk atau tempurung di kaki lima tempat orang lalu-lalang dan di tangga masjid terutama di ibu kota dan bandar besar yang lain dengan mengumpankan kanak-kanak dan wanita tua sebagai tarikan untuk mendapatkan simpati orang awam.
Diperhatikan mereka ini bukanlah orang tempatan tetapi berduyun- duyun diseludup masuk dari negara jiran. Mereka timbul apabila menjelangnya bulan Ramadan tetapi ghaib pula apabila menjelangnya hari raya.
Begitu juga mereka yang meraih simpati membawa surat akuan atau surat rasmi daripada Jabatan Agama Islam untuk meminta sedekah daripada orang ramai dan mereka ini bergerak selalunya di tempat awam serta pergi dari rumah ke rumah.
Menjadi tanda tanya bagaimana mereka ini boleh mendapat surat sokongan daripada Jabatan Agama Islam atau Jakim itu sendiri kerana mungkin surat tersebut adalah palsu kerana tidak mungkin jabatan agama menggalakkan umat Islam meminta sedekah kerana jabatan telah menyediakan wang zakat untuk diagihkan kepada semua fakir miskin setiap kali menjelangnya bulan Ramadan dan bulan Syawal.
Pada masa yang sama diharapkan rondaan lebih hebat lagi oleh pihak Penguat Kuasa Jabatan Agama dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan tiada ruang untuk mereka beragama Islam yang berhajat untuk melakukan maksiat dalam bulan Ramadan.
Begitu juga pemantauan dilakukan ke atas penyeludupan bunga api dan mercun yang mana seolah-olah tidak terkawal terutama dua minggu terakhir Ramadan yang mengganggu mereka yang sedang beribadah sepanjang malam.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMAULLAIL
Ampangan, Seremban
No comments:
Post a Comment
Komen