Taranum Makruh, harus?
Suara baik, makna lebih jelas
TILAWAH al-Quran bukan asing bagi masyarakat Islam di negara
ini, malah Malaysia antara negara pelopor mengadakan acara itu setiap
tahun.
Dalam mana-mana majlis tilawah, qari dan qariah akan
memperdengarkan bacaan dengan seni lagu atau tarannum. Kehandalan
seseorang pembaca bukan sekadar diukur kepada kebolehan tajwid tetapi
sedap atau tidak pembacaannya.
Melagukan al-Quran berbeza
daripada nasyid, qasidah dan burdah malah menurut Imam Syafie,
melagukan al-Quran ialah mengelokkan kitab suci itu tanpa melanggar
hukum tajwid.
Namun, timbul perselisihan pendapat di antara
ulama salaf (dahulu) dan ulama khalaf (kemudian) mengenai kesenian lagu
al-Quran. Ada berpendapat hukum berlagu makruh dan harus.
Antara ulama yang berpendapat hukum berlagu makruh ialah Anas bin
Malik, Said bin Jabir, Ibn Sirin, Imam Malik dan Imam Ahmad. Mereka
bersandarkan kepada hadis yang berbunyi:
“Bacalah al-Quran
dengan bentuk suara dan lagu Arab, hendaklah dijauhkan dengan bentuk
lagu ahli kitab dan orang fasik. Sesungguhnya akan datang selepas aku
kaum tertentu yang membaca al-Quran seperti orang bernyanyi dan cara
ahli kitab dan cara seperti meratap iaitu keluar huruf melalui
kerongkong mereka tidak sesuai dengan makhraj huruf semata-mata
bertujuan mempesona dan menakjubkan orang saja.”
Selain itu,
Imam Ahmad berpendapat, pembacaan al-Quran secara berlagu suatu perkara
bidaah dan ia melarang daripada mendengarnya.
Ulama yang
berpendapat hukum berlagu adalah harus ialah Umar Ibn Khattab, Ibn
Abbas, Ibn Mas’ud, Imam Hanafi dan Imam Syafie. Mereka berpandukan
hadis nabi, antaranya:
“Daripada Barra’ bin Azib berkata:
Rasulullah bersabda (maksudnya): Seseorang yang mahir membaca al-Quran
ditempatkan di syurga bersama Malaikat dan hiasilah al-Quran dengan
suaramu.”
Menurut Imam Mawardi, melagukan al-Quran itu boleh
selagi tidak keluar daripada kaedah hukum tajwid sehingga lagu
merosakkan bacaan.
Ijmak ulama menyatakan, menjadi suatu yang
digalakkan mendengar bacaan al-Quran seorang yang mempunyai suara baik
kerana ia lebih jelas kepada makna yang dikehendaki.
Pensyarah
al-Quran dan Tarannum, Kolei Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra
(KIAS), Muhammad Lukman al-Hafiz Ibrahim, berkata masyarakat Islam
perlu menganggap tarannum suatu tuntutan dengan melihat kepada beberapa
hadis sahih Rasulullah s.a.w yang menyuruh dan beramal demikian.
Asas bertarannum, katanya, ialah hadis Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Bukanlah umat kami mereka yang tidak bertaranum dengan al-Quran.”
(Sahih Bukhari: 6/273)
“Suatu bukti yang tidak dapat
disangkal ialah mereka yang belajar ilmu tarannum adalah lebih baik
tilawah serta tajwidnya berbanding dengan mereka yang tidak belajar,”
katanya.
Beliau berkata, ini sesuai dengan gesaan Rasulullah
s.a.w supaya membaca al-Quran dengan cara yang paling baik, seperti
yang dapat difahami melalui satu hadis bermaksud:
“Hiasilah al-Quran dengan suaramu kerana suara yang baik akan menambah keelokan al-Quran.” (Riwayat Hakim 1/768).
“Suara perlu dibentuk dengan tarannum yang baik untuk menyambut suruhan
Rasulullah s.a.w ini. Jika tidak bacaan akan menjadi buruk dan tidak
elok. Ini bertentangan dengan kemuliaan al-Quran.
“Seorang yang berkata tidak mampu bertaranum dengan alasan suaranya tidak baik hanya memberi alasan yang remeh.
“Mereka sebenarnya tidak belajar bertaranum yang betul untuk al-Quran.
Realiti ini memang terbukti melalui kursus dan kelas yang diadakan.
“Sehingga guru dan penceramah agama sendiri yang mahir dalam ilmu
tafsir, hadis, fiqah dan lain-lain tidak membaca al-Quran dengan baik
malah salah,” katanya.
Punca perkara itu, katanya, hanya satu
kerana tidak belajar al-Quran sedangkan mereka mendalami ilmu tafsir,
hadis, fiqah dan lain-lain.
“Sekiranya dilihat dari sudut
masyarakat Islam pula, mereka yang lemah dalam membaca al-Quran masih
ramai bahkan sebahagiannnya tidak tahu membaca langsung. Itu belum lagi
dibincangkan persoalan membaca dengan baik dan bertarannum,” katanya.
Jelas, berdasarkan keterangan itu termasuk beberapa hadis menegaskan
supaya membaca al-Quran dengan suara elok dan berlagu menyumbangkan
kepada keelokannya.
Tetapi ini tidak bermakna mereka yang
tidak boleh berlagu dipaksa agar berbuat demikian, sesuai dengan hadis
bermaksud: “Sesungguhnya mengelokkan suara dalam pembacaan al-Quran
adalah dituntut. Jika tidak berkemampuan hendaklah diperelokkan sekadar
termampu saja.”
Menurutnya, amalan berlagu dalam pembacaan
al-Quran bermula sejak era kegemilangan generasi pertama Islam, iaitu
zaman Rasulullah s.a.w.
“Imam Ibn Hajar Asqalani meriwayatkan,
masyarakat Arab cukup suka berlagu sama ada ketika menunggang unta, di
halaman rumah dan di mana sahaja. Apabila al-Quran diturunkan,
Rasululah s.a.w mahukan minat berlagu itu dipindahkan kepada tarannum
al-Quran (Fath al-Bari 6/69).
“Satu riwayat lain dari Imam
Ibn Batthal menyebutkan, Saidina Umar meminta Abu Musa al-Asy`ari (qari
ulung di kalangan sahabat) membaca al-Quran di hadapannya. Maka, Abu
Musa membaca sambil bertarannum. Kata Umar r.a sesiapa yang mampu untuk
bertaranum seperti Abu Musa, silalah (Syarah al-Bukhari oleh Ibnu
Battal 9/342)
“Asasnya di sini ialah mengutamakan bacaan
bertajwid dan tarannum bertujuan untuk memperelokkan lagi bacaan
al-Quran,” katanya.
Jenis lagu adalah pelbagai, tetapi yang
biasa bagi masyarakat di Malaysia ada tujuh, membabitkan lagu Bayati
(dimasyhurkan orang Mesir), lagu Soba (berasal dari Arab Mesir), lagu
Hijaz (berasal dari Hijaz iaitu Makkah dan Madinah), lagu Nahawand
(berasal dari Hamdan, Parsi), lagu Rast (berasal dari Parsi), lagu
Jaharkah (berasal dari Afrika) dan Sikah (berasal dari Parsi).
Muhammad Lukman berkata, seseorang yang ingin membaca al-Quran boleh
memilih mana-mana tarannum yang sesuai dengan suara mereka.
“Umat Islam memang dituntut mempelajari tarannum sepanjang zaman dengan tujuan untuk memperelokkan (tahsin) tilawah al-Quran.
“Namun, asas dalam tarannum al-Quran adalah tajwid. Al-Quran wajib dibaca dengan tajwid.
“Taranum juga adalah tuntutan, namun tidak boleh sekali-kali mendahului
tajwid dan melampau dalam tarannum sehingga membelakangi tajwid.
Perkara ini mesti dijauhi,” katanya.
Cuma, katanya, syarat
pembelajaran tajwid dan tarannum adalah secara talaqqi dan musyafahah
(belajar secara langsung dan menghadap guru).
“Kaedah
menggunakan kaset, cakera padat video (VCD) dan media lain hanyalah
sebagai satu alat bantu tambahan dan ia bukan asas kepada pembelajaran
al-Quran,” katanya.
http://putra-nazri.blog.friendster.com/
No comments:
Post a Comment
Komen