Showing posts with label Syeikh. Show all posts
Showing posts with label Syeikh. Show all posts

Wednesday, May 26, 2010

MENGENALI KARYA ULAMA, TOKOH KALIMANTAN BARAT [ Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH ]



DALAM tiga tulisan yang telah lalu telah diperkenalkan ulama-ulama dari Pontianak, Kalimantan Barat, sama ada yang berasal dari Pontianak sendiri mahupun ulama yang berasal dari luar yang memainkan peranan yang besar di dalam kerajaan Pontianak, rencanal pada kali ini memberi tumpuan kepada ulama dan karya-karya dari Ketapang dan Mempawah yang juga termasuk dalam daerah Kalimantan Barat. Dimulakan dengan dua ulama yang berasal dari Mekah yang datang menyebarkan Islam di Ketapang iaitu Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin.Selanjutnya mengkaji ulama serta karya mereka menerusi artikel ini.

Ulama Ketapang dan pengkaryaannya

Pada zaman dulu berdirinya sebuah kerajaan yang dinamakan Kerajaan Sukudana, yang sekarang disebut Kabupaten Ketapang. Selanjutnya di sana pula letaknya Kerajaan Matan. Ketika masih bernama Kerajaan Sukudana, kerajaan itu sangat terkenal. Pengembangan Islam diriwayatkan dalam beberapa tulisan klasik Melayu, di antaranya dalam satu manuskrip dinyatakan sebagai berikut, "Dan sampailah ke negeri Mekah dan Madinah. Maka Raja Mekah pun (mengirim) sebuah kapal ke negeri Sukudana serta membawa persalinan pakaian yang indah-indah. Serta membawa sahmurah dan Quran dan baju azimat satu serta dengan nama Sulthan Muhammad Shafiyuddin. Ada pun yang disuruh oleh Raja Mekah menjadi utusan ke Sukudana itu Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin. Setelah datang utusan itu maka dipersalin dengan sepertinya. Maka surat dari Mekah itu pun dibaca, maka berhimpunlah sekalian rakyat Sukudana dan segala (daerah) seperti Kota Ringin, Jali Kendewangan, Pesaguan, Biyak Keriyu, Semandang Kawalan, Landak, Mempawah, Sambas, Tembelan, dan Subi, Serasan, Bunguran sekalian itu ke Sukudana di pasiban agung hingga sampai ke alun-alun daripada kebanyakan manusia…."

Sejak kedatangan Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin dari Mekah itu secara berkesinambungan di Kerajaan Sukudana, agama Islam terus berkembang dan melahirkan beberapa orang ulama dan cendekiawan. Bahkan ada pendapat mengatakan, kedatangan Syeikh Syamsuddin ke Sukudana itu adalah merupakan titik awal penyebaran Islam di seluruh Kalimantan/Borneo.

Menjelang kemerdekaan Indonesia hingga 1980-an, di antara ulama yang berasal dari daerah tersebut yang terkenal ialah Haji Ali Utsman Ketapang yang pernah menjadi Rektor Universitas Islam Bandung (UNISBA). Haji Ali Utsman mendapat pendidikan Darul 'Ulumid Diniyah di Mekah. Sewaktu belajar di sana, beliau bersahabat dengan ulama besar terkenal iaitu Syeikh Yasin Padang. Ulama yang berasal dari Ketapang ini adalah seorang hafiz al-Quran. Kemampuannya menghafaz tiga puluh juzuk al-Quran hanya mengambil masa enam bulan sahaja. Dalam waktu yang demikian singkat, beliau juga menghafal pelajaran-pelajaran lain. Riwayat ini mencerminkan kecergasan beliau dan termasuk sesuatu yang luar biasa.

Sewaktu Haji Ali Utsman tinggal di Pontianak, beliau berhasil mendirikan Madrasah Raudhatul Islamiyah yang merupakan sebuah sekolah agama yang terkenal di Pontianak. Sekolah tersebut berjaya melahirkan tokoh-tokoh, baik di bidang agama, mahupun cendekiawan pelbagai bidang lain.

Beliau juga sempat menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya ialah Pemimpin Kepada al-Lughatul 'Arabiyah , yang diselesaikan di Ketapang, Kalimantan Barat, pada 19 Zulkaedah 1369 H/2 September 1950 M. Kandungannya mengenai bimbingan untuk mengetahui bahasa Arab termasuk ulasan ringkas mengenai nahu dan sharafnya. Dicetak oleh Percetakan Qalam, 356 Geylang Road, Singapura.

Dari Ketapang pula muncul Dr. Hamzah Haz yang pernah memegang peranan sebagai wakil Presiden Republik Indonesia.

Para ulama Mempawah dan pengkaryaannyaMenurut riwayat, sewaktu Upu Daeng Menambon secara rasmi telah menjadi Raja Mempawah beragama Islam yang pertama, beliau telah menyusun riwayat tentang perhubungan Bugis dan Melayu yang ditulis dalam bahasa Bugis.

Tulisan beliau telah diterjemah daripada bahasa Bugis ke bahasa Melayu oleh putera beliau bernama Gusti Jamiril. Berdasarkan terjemahan itulah yang dimanfaatkan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji dan puteranya, Raja Ali Haji sehingga tersusun kitab Salasilah Bugis dan Melayu yang terkenal.

Di Mempawah pula telah dijumpai beberapa manuskrip yang membicarakan perkara yang sama. Ia juga dipercayai bersumberkan terjemahan Gusti Jamiril itu.

Di antaranya ialah; Salasilah Keturunan Raja-Raja Negeri Mempawah Yang Termasuk Keturunan Raja-Raja Tanah Jawa, Sukudana, Matan, Sampang dan Sebelah Kapuas, yang diselesaikan pada 21 Syaaban 1288 H. Kandungan menceritakan asal-usul raja-raja Melayu terutama Kalimantan dan Riau. Manuskrip diperoleh di Pontianak, pada 29 Muharam 1423 H/12 April 2002 M.

Selanjutnya di antara nama-nama ulama atau tokoh serta karya-karya yang berasal dari Mempawah disenaraikan sebagai yang berikut di bawah ini:

lMuhammad Ali Al-BuqisiKarya tokoh ini ditemui dua judul, ialah:1. Salasilah Asal Raja-Raja Mempawah, Dan Pontianak, Dan Matan, Dan Sambas, Dan Riau, Dan Selangor, Dan Yang Termasuk Jadi Kerabat, diselesaikan di Mempawah, 2 Januari 1882 M. Kandungan menceritakan asal-usul raja-raja Melayu yang berasal dari negeri Bugis.2. Risalah Tauhid, Isnin, 8 Syaaban 1288 H. Kandungan pelajaran akidah Ahlis sunnah wal Jamaah. Manuskrip mengenai ini bekas dimiliki oleh Syeikh Mahmud Muhammad Syarwani. Pada lembaran terakhir tercatat, "Yang punya buku ini Syeikh Mahmud Muhammad Syarwani".

lUmar Ibnu Uu' Maju' MempawahPenulisan mengenai Thariqat Syaziliyah pula pernah dilakukan oleh ulama yang berasal dari Mempawah ini, beliau ialah Umar ibnu Uu' Maju' yang menghasilkan karya berjudul Salasilah dan Amalan Thariqat Syaziliyah, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan salasilah dan cara-cara mengamalkan Thariqat Syaziliyah. Diperoleh di persekitaran Kesultanan Pontianak, Kalimantan Barat. Catatan dan penilaian bahawa manuskrip / naskhah tersebut adalah nadir atau langka, kerana belum banyak manuskrip mengenai Thariqat Syaziliyah yang ditulis dalam bahasa Melayu. Bahawa beliau mengaku sebagai murid Syeikh Ali bin Abdur Rasyid al-Jawi as-Sumbawi yang berasal dari Sumbawa tersebut adalah seorang ulama besar yang terkenal, hidup sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

lAli bin Sulaiman, Kampung Kuala MempawahRamai memperkatakan bahawa di Kuala Secapah/ Kuala Mempawah sekitar 100 tahun yang lalu, hidup seorang ulama besar yang dianggap mempunyai keramat. Ulama itu berasal dari Kedah, beliau adalah Haji Muhammad Yasin Kedah. Sehubungan itu dalam sebuah rumah besar tersimpan kitab-kitab peninggalan ulama besar Kedah itu. Pertama kali penulis memijak kaki di Kuala Secapah, Mempawah pada 1969 M dan pernah menginap di rumah besar tersebut. Semalaman hingga Subuh memeriksa kitab-kitab yang sangat banyak. Setelah masuk tahun 2000 M, berkali-kali kitab itu diserahkan kepada penulis, maka barulah penulis dapat membuat penelitian yang lebih sempurna dan teliti.Ternyata kitab yang tersimpan dalam rumah besar tersebut sebahagian besarnya adalah milik dan karangan Ali bin Sulaiman, bukan Haji Muhammad Yasin Kedah. Masih sukar dipastikan hubungan antara Ali bin Sulaiman dengan Haji Muhammad Yasin Kedah.
 
Di antara karya Ali bin Sulaiman yang dapat diperkenalkan di sini ialah:1. Ilmu Aqidah, diselesaikan hari Ahad, jam 10, bulan Jumadil Akhir 1298 H. Kandungan membicarakan akidah menurut Mazhab Ahlis Sunnah wal Jamaah. Dalam manuskrip ini juga disebut Salasilah Thariqat Naqsyabandiyah.2. Kumpulan Doa Mustajab, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan berbagai-bagai doa mustajab atau hikmat yang terdiri daripada Doa Mustajab, Syarah Doa Nabi Allah Yusuf, Isim Empat Puluh, dan lain-lain. Salah satu amalan untuk ketahanan badan zahir dan batin diterimanya daripada Tuan Syeikh Khalifah Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 3. Ilmu Perubatan, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan berjenis-jenis wafaq dan perubatan. Ketiga-tiga manuskrip di atas diperoleh di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, di rumah pemilik dan penulisnya.

lHaji Sulaiman bin Abdul Mannan di TerudukanNama lengkap Haji Sulaiman Intan bin Nakhoda Ahmad bin Adullah (Dato' Bendahara). Catatan pada satu halaman dalam Salasilah keluarga besar ini oleh Abdul Wahhab bin Haji Abdur Rahman. Dinyatakan bahawa Haji Sulaiman bin Abdul Mannan lahir pada malam Khamis, 12 Rabiulawal 1243 H. Pada 27 Syaaban 1266 H dinikahkan oleh Haji Abdul Qadir dengan anaknya bernama Hajah Maimunah di Mekah. Haji Sulaiman bin Abdul Mannan meninggal dunia pada hari Rabu, jam 2.00 tengah hari di Kampung Terudukan, di Mempawah . pada 12 Zulkaedah 1317 H. Walaupun penulis tinggal lama di Mempawah, nama Kampung Terudukan hanya penulis ketahui melalui riwayat ini. Kemungkinan nama kampung itu telah berubah sehingga tidak diketahui oleh generasi kini. Berdasarkan beberapa karyanya, dapat dipastikan bahawa Haji Sulaiman adalah seorang ulama. Di antara karyanya yang telah ditemui ialah Sullamush Shu'ud ila Hadhrati Zainil Wujud. Kitab tersebut diselesaikan pada malam Jumaat, 27 Jumadilakhir 1298 H. 
 
Ia dibesarkan terdapat pelbagai doa, di antaranya Doa Nur Muhammad, Selawat atas Nabi SAW. Pada halaman yang lain, terdapat pelajaran mengerjakan sembahyang tarawih.Sesudah memperkenalkan Istighfar Abdullah Syatari, terdapat catatan, "Tammat al-kalam kepada tiga likur hari bulan Jumadilakhir, hari Selasa, waktu jam dua siang serta tarikh kepada tahun Dal akhir sanah 1298". Sesudah itu dilanjutkan lagi dengan doa pelias, yang diteruskan dengan hijab-hijab. Terakhir sekali dibicarakan tatacara membaca Yasin. Dinyatakan mengenai ijazahnya, "Maka sekarang hamba Haji Sulaiman bin Abdul Mannan ijazahnya kepada Tuan Haji Muhammad Nur, dan Tuan Haji Muhammad Nur ijazahkan Ali bin Sulaiman di Kuala Mempawah. Hamba, Haji Sulaiman mengambil daripada guru yang mukarramm, iaitu Encik Sunang Banjari, dia mengambil daripada Pangeran Abdul Qadir, dia mengambil daripada bapanya, iaitu Pangeran Haji Musa, dia mengambil daripada Syeikh yang mukarram di Mekah al-Musyarrafah, iaitu Saiyiduna wa Syaikhuna Saiyid Muhammad Shalih Rais Mufti Syafi'ie…". Manuskrip diperoleh di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, di rumah pemiliknya, Ali bin Sulaiman Mempawah.

lAbdur Rasyid bin Hasan al-Mampawi Ulama yang berasal dari Mempawah ini bernama Abdur Rasyid bin Hasan, penyusun risalah Ikhtisharul Mubtadi fi Ahkamit Tajwid, yang diselesaikan hari Selasa, 15 Zulkaedah 1353 H. Kandungan membicarakan ilmu tajwid. Cetakan yang pertama dicetak oleh Mathba'ah al-Masawi, 14 Ulu Palembang.

lMuhammad Bakran bin Haji Muhammad Yasin, Sungai Bundung, Kecamatan Sungai Kunyit, Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat.
 
Penulis mempunyai kesan tersendiri terhadap Kampung Sungai Bundung. Pada 1974, pertama sekali penulis mendirikan pondok-pesantren Al-Fathaanah bersama Munzir Kitang murid Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein Kelantan (murid Tok Kenali juga merupakan mufti yang terakhir di kerajaan Mempawah). 
 
Seorang ulama yang berasal dari Kuching, Sarawak bernama Haji Muhammad Shalih kuburnya juga di Sungai Bundung, dan isterinya yang lain ialah ibu saudara kepada Ustaz Haji Abdur Rani Mahmud, seorang ulama Pontianak yang pernah sebagai Ketua Majlis Ulama Propinsi Kalimantan Barat. 
 
Tanpa penulis duga bahawa Muhammad Bakran bin Haji Muhammad Yasin, yang riwayat hidupnya belum jelas, pernah menghasilkan karya Tajwid, tanpa dinyatakan tarikh, di Sungai Bundung. Manuskrip diperoleh di Pontianak pada 29 Muharam 1423 H/12 April 2002 M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Tuesday, April 6, 2010

Al-Habib As-Sayyid Abd Qadir Bin Ahmad As-Saqqaf :


Saluran Ilmiah Anda



Al-Fatihah untuk Ulama Rabbani...
Ringkasan biografi beliau di bawah di dalam Bahasa Malaysia




Al-Habib As-Sayyid Abd Qadir Bin Ahmad As-Saqqaf

Beliau dilahirkan pada Jamadil Akhir 1331H dan dibesarkan oleh ibu bapa yang soleh dalam suasana yang solehah. Ayahnya bernama Sayyid Ahmad Bin Abd Rahman manakala Ibunya As-Syarifah A'lawiyah Binti Al-Habib Ahmad Bin Muhammad Al-Jufri

PERMULAAN SEJARAH
Terbuka mata hati Habib Abd Qadir untuk menjadi Insan yang bertaqwa dan soleh apabila beliau sering melihat ayahnya mendirikan solat, berpuasa, menyibukkan diri dengan ilmu dan majlisnya (ilmu). Ibunya pula sering membaca wirid-wirid siang dan malam, suasana beginilah yang memahat satu ukiran keimanan di dalam jiwa beliau.
Suasana beginilah yang diamalkan oleh para Salaf yang telah menjadikan rumah mereka sebagai sebuah sekolah yang mendidik anak-anak dengan pelbagai ilmu yang susah untuk diperolehi setelah dewasa. Semoga setiap dari kita mampu membentuk suasana keimanan di dalam rumah masing-masing.

PENGAJIAN
Habib Abd Qadir telah menuntut Ilmu di Madrasah An-Nahdah yang bermaksud “Kebangkitan”, sesungguhnya madrasah ini sebagaimana namanya. Guru-gurunya terdiri daripada Syeikh-syeikh besar dan Ulama-ulama. Method pembelajarannya ialah tarbiah, pembersihan jiwa dan ilmu. Di Madrasah ini Habib Abd Qadir mempelajari Ulum Hadis, Tafsir, Bahasa Arab dan segala ilmu berkaitan, Fiqh, Sirah, Sejarah dan sedikit daripada ilmu kira-kira dan falak dan juga selainnya. Madrasah ini juga mempunyai jabatan khusus untuk menghafal Al-Quran. Habib Abd Qadir telah menghafal Al-Quran dalam tempoh yang singkat. Walaupun Madrasah tersebut mempunyai keistimewaan yang luar biasa akan tetapi Ayah Habib Abd Qadir tidak pernah alpa dari tanggungjwab beliau untuk bertanya, mengikuti dan menguji segala pelajaran yang diperolehi oleh Habib Abd Qadir. Didikan dari rumah inilah yang tel! ah banyak melahirkan insan yang cemerlang.

CABARAN DAN MEHNAH
Apabila berubah suasana Politik di selatan Yaman, golongan Sosialis telah mengganggu golongan pendakwah dan agamawan, khususnya mereka yang mempunyai pengaruh dan menjadi nadi di dalam masyarakat. Golongan Pendakwah dan agamawan hidup di dalam keadaan terseksa pada ketika itu. Habib Abd Qadir sendiri diwajibkan untuk menulis namanya pada setiap pagi dan petang di balai polis. Beliau begitu sabar dan dalam masa yang sama berusaha untuk keluar dari cengkaman Sosialis sehinggalah ada yang sanggup membantu untuk membawa beliau ke Singapura dan seterusnya ke Indonesia. Di kedua-dua negara tersebut beliau telah mendapat sambutan yang hebat dan penghormatan yang selayaknya.
Dari Indonesia beliau telah bertolak menuju ke Hijaz dan disiitulah permulaan untuk beliau menetap di sana. Hijaz bukanlah kota yang asing bagi beliau kerana beliau pernah melaksanakan Haji sebanyak 6 kali sebelum beliau bermukim di Hijaz, Beliau telah keluar dalam tempoh yang lama untuk berdakwah sehingga beliau akhirnya kembali dan menetap di Hijjaz pada ramadhan 1394 H.

Di Hijaz beliau mendapat sambutan yang amat dahsyat. Setiap hari beliau akan keluar untuk mengajar pelbagai ilmu seperti hadis, tasauf dan sirah. Pelbagai perbincangan dan perdebatan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu juga diadakan. Beliau juga mempunyai beberapa majlis ilmu ditempat lain seperti Madinah.

KEISTIMEWAAN BELIAU
Beliau adalah seorang yang mampu menghidupkan kembali hati yang lemah terhadap kepada kecintaan kepada Allah, sentiasa mengungkapkan kata-kata yang indah dan penuh hikmah. Lidahnya tidak pernah lekang dari berhujah menggunakannas-nas al-Quran dan as-Sunnah dan cerita-cerita bangsa. Beliau menggambarkan realiti ummat yang memedihkan dan memberi penawar kepada semua bala dan kepincangan akhlak.

Kasih sayang Habib melata di dalam hati manusia dari pelbagai bangsa dan warna kulit, sama ada yang hampir dengan beliau atau yang jauh, yang bersama beliau atau menentang beliau. Sebagaimana yang boleh dilihat di dalam majlis beliau terdapat pelbagai bangsa dan warna kulit.

PENUTUP
Terlalu panjang jika ingin berbicara berkenaan Habib Abd Kadir, hanya sedikit ringkasan yang boleh dibuat. Untuk mengenal siapa Habib Abd Qadir dengan lebih mendalam, bertanyalah kepada penduduk Hijaz dan Yaman, nescaya kalian akan menemukan manusia-manusia yang terbentuk akhlak dan peribadinya dengan didikan Habib Abd Qadir. Maha Suci Allah yang menganugerahkan kita rezeki dengan adab zahir dan batin ketika bersama Ulama-ulama seumpama mereka.

 Al-Habib As-Sayyid Abd Qadir Bin Ahmad As-Saqqaf telah menghembuskan nafas terakhirnya sebelum solat zohor pada hari Ahad 19 rabiul akhir 1432 bersamaan 4 april 2010. Solat di Masjid Haram pada hari yang sama selepas Isyak. –Al-Fatihah- Moga Allah alirkan segala keberkatan dan kelebihan mereka kepada kita semua, amin.

Sila ambil maklumat :) Dont Forget to Follow..

Subscibe Here