Thursday, October 27, 2011

PUASA SUNAT (HARI 'ARAFAH)

PUASA SUNAT (HARI 'ARAFAH)

Bilakah hari ‘Arafah? Apa dalil bagi kelebihan puasa hari ‘Arafah?

Hari ‘Arafah ialah hari sembilan Zulhijjah. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari neraka dari hari ‘Arafah” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun disunatkan berpuasa pada hari tersebut, dalilnya ialah; hadis dari Abu Qatadah r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim).

Adakah sunat berpuasa pada hari ‘Arafah itu ada pengecualian?

Ya. Dikecualikan dari jamaah haji. Mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut sebagai mencontohi Nabi s.a.w. dan juga untuk menjaga kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari itu.

Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w. berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya (Riwayat Imam Muslim).

Malah terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah” (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim).

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari Arafah merupakan hari yang mempunyai kelebihan tersendiri. Jika para jemaah haji diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana, kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji dianjurkan untuk berpuasa pada hari ini. Kedatangannya setahun sekali ini janganlah disia-siakan. Kita juga dianjurkan untuk berzikir dan berdoa kepada Allah pada hari ini. Di sini dipetik beberapa buah hadis untuk renungan kita bersama.

Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? maka jawab Rasulullah S.A.W yang artinya : Dikaffarah(ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang.

- Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh imam Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi -
Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Tiada dari hari dalam setahun aku berpuasa lebih aku gemari daripada hari Arafah.
- Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh Ibnu Abu Syaibah dan Baihaqi-
Daripada Anas bin Malik telah berkata : Adalah dikatakan pada hari-hari sepuluh setiap hari(menyamai) seribu hari, hari Arafah(menyamai) sepuluh ribu. ….Telah berkata imam Baihaqi yaitu pada kelebihan.
- Hadis isnad hasan dikeluarkan oleh imam Baihaqi dan disebut oleh imam Sayuti-


Semoga amalan kita bertambah dari tahun yang telah lalu dan dosa kita diampunkan oleh Allah. Gunakanlah segala peluang yang ada demi menambah lagi bekal akhirat kita sebelum bertemu Allah di hari yang tidak ada pertolongan lain selain mereka yang menemuiNya dalam keadaan hati yang bersih dan selamat daripada kekotoran dosa dan noda.

maraji :
1. Kitab Fadahailul Auqat oleh Abi Bakar bin Al-Husin Al-Baihaqi di kaji oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi cetakan Maktabah Al-Manarah Makah Mukarramah.

Sila ambil maklumat :) Dont Forget to Follow..

Subscibe Here